Baju raya musnah dalam kebakaran

Baju raya musnah dalam kebakaran

CHE Rusli Yusof melihat sisa-sisa runtuhan rumahnya yang terbakar di Kampung Buloh Melintang, Pasir Mas, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Persiapan awal menyambut Syawal yang dilakukan sebuah keluarga di Kampung Buloh Melintang di sini munsah selepas rumah mereka terbakar semalam.

Kejadian pada pukul 9.20 pagi itu menyebabkan Che Rusli Yusof, 59, bersama isteri, dua anak serta seorang anak saudara tinggal sehelai sepinggang.

Che Rusli berkata, semasa kejadian dia sedang berehat di dalam bilik sebelum sebelum kipas yang sedang digunakan tidak berfungsi.

Menurutnya, dia kemudian bangun untuk memeriksa bekalan elektrik sebelum dikejutkan dengan api yang sedang marak membakar tingkap rumah dibahagian stor.

“Cemas melihat api semakin marak, saya terus memanggil isterinya, Siti Salehah Awang, 66, serta anak saudara yang berehat di bilik berasingan untuk menyelamatkan diri.

“Selain itu, kami berusaha memadam kebakaran dengan menyimbah air namun gagal kerana api terus marak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Che Rusli memberitahu, dia kemudian meminta bantuan jiran dan sempat memindahkan motosikal dan kereta ke tempat selamat.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir (BBP) Mas, Mohd. Azmi Hussin berkata, seramai 13 anggota terbabit dalam operasi memadam kebakaran tersebut.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.24 pagi dan dua jentera dari BBP Pasir Mas dan Tanah Merah telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Api berjaya dikawal pada pukul 9.54 pagi dan Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN