Aliff Aziz masih sayangkan Bella

Aliff Aziz masih sayangkan Bella

BELLA dan Aliff pernah bercerai pada 16 Mei 2019, namun kembali rujuk ketika dalam tempoh edah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Aliff Aziz membuat kejutan apabila berpendirian enggan melafazkan cerai terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam meskipun sedar Bella Astillah mahu segera bercerai.

Dalam prosiding semalam, ketika ditanya Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat sama ada dia bersetuju atau tidak dengan penceraian itu, Aliff kemudian dengan nada tegas menjawab tidak selain me­ngakui masih sayang dengan isterinya itu.

Berikutan itu Wan Mohd. Najib memutuskan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) untuk prosiding kes perceraian pasangan selebriti tersebut diteruskan pada 4 Jun nanti.

Dalam prosiding semalam juga, Bella melantik kakak angkatnya manakala Aliff melantik ibunya masing-masing sebagai wakil JKP.

Peguam yang me­wa­kili Bella, Azmi Mohd. Rais bagaimanapun me­mohon mahkamah menasihati Aliff Aziz, sebagai defendan mem­pertimbangkan semua ke­putusan enggan bercerai.

“Hari ini merupakan tarikh sebutan kedua dan defendan Aliff telah hadir bersama peguamnya untuk menyatakan pendirian sama ada ingin bercerai atau tidak, namun ternyata defendan tidak bersetuju.

“Kami telah memohon mahkamah untuk menasihati defendan mempertimbangkan keputusannya selepas mengambil kira perbalahan dan peristiwa yang berlaku sekitar seminggu lalu.

“Hakim kemudiannya telah menasihati Alif Aziz untuk memikirkan semula keputusannya, namun dia teguh dengan keputusannya untuk tidak menceraikan Bella kerana dia kata perlukan masa,” katanya.

Semasa prosiding, peguam syarie Azmi Mohd. Rais mewa­kili Bella manakala Aliff diwakili peguam syarie Abdul Hadi Mohamad Salleh.

Pada 13 Mac lalu, Bella memfailkan perceraian terhadap Aliff secara ekspres, namun penyanyi itu tidak muncul pada hari perbicaraan kerana penggambaran.

Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.

Sebelum ini, Bella dan Aliff pernah bercerai pada 16 Mei 2019, namun kembali rujuk ketika dalam tempoh edah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN