Agong titah ATM buat siasatan terperinci

Agong titah ATM buat siasatan terperinci

SALAH satu lokasi nahas helikopter milik TLDM yang terhempas menyebabkan 10 orang terkorban di Lumut, Perak, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat berhubung dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, semalam.

Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menzahirkan rasa sedih dan me­rakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa nahas helikopter tersebut.

“Saya dan Raja Zarith berasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi ini. Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

“Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada.

“Saya juga mahukan ATM menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian itu,” titah Seri Paduka menerusi satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dua helikopter milik TLDM dilaporkan bertembung sebelum terhempas ketika sesi raptai sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, semalam.

TLDM mengesahkan sebuah helikopter operasi ma­ritim (HOM) AW139 dan sebuah helikopter Fennec miliknya terhempas pada pukul 9.32 pagi.

Menerusi satu kenyataan TLDM memaklumkan, insiden tersebut melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru AW139 dan tiga kru Fennec dengan sesemua mang­sa disahkan terkorban di tempat kejadian.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas berkenaan.

Anwar berkata, negara berdukacita dengan tragedi yang menyayat hati dan meruntun jiwa tersebut.

“Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dengan doa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini.

“Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga ATM dan kehilangan besar buat negara.

“Mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka. Semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa di-Sisinya. Al-Fatihah,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN