MERSING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib mengalami kecederaaan apabila kenderaan dinaiki bersama keluarga terbabas di Kilometer 28, Jalan Kota Tinggi-Mersing petang semalam.
Pegawai Khas ADUN Endau, Muhamad Amerul Muhamad berkata, Alwiyah menerima rawatan akibat kemalangan tersebut di Hospital Mersing.
“(Yang Berhormat) YB telah menerima 13 jahitan di dalam mulut dan enam jahitan pada bahagian dagu. Doktor yang merawat telah memberikan sijil cuti sakit kepada YB selama sembilan hari bermula 1 April hingga 9 April ini.
“Sehubungan itu, segala jemputan dan program yang telah diatur dalam jadual tidak dapat dihadiri oleh YB.
“YB mendoakan agar program yang telah diaturkan dapat berjalan dengan lancar dan menyampaikan salam takzim kepada semua,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihak polis menerima maklumat tentang kemalangan itu kira-kira pukul 5.30 petang.
“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan MPV Nissan Serena yang dinaiki oleh YB ADUN Endau bersama enam ahli keluarganya.
“Kenderaan yang dipandu oleh suami YB ADUN dari Johor Bahru ke Mersing dipercayai telah hilang kawalan di lokasi lalu terbabas ke tepi jalan.
“Akibat kemalangan, YB ADUN mengalami kecederaan pada bahagian dagu dan mulut, manakala mangsa yang lain tidak cedera,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dua tahun lalu, Alwiyah yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menang dalam pertembungan lima penjuru. – UTUSAN










