79 mangsa banjir berlindung di tiga PPS di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

79 mangsa banjir berlindung di tiga PPS di Negeri Sembilan

SEBAHAGIAN mangsa terjejas banjir yang ditempatkan di PPS Balai Raya Permatang Pasir, Linggi, Port Dickson.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 79 orang mangsa yang terjejas banjir telah ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah ini setakat pukul 4 petang tadi.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan memaklumkan buat masa ini terdapat tiga pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka.

PPS terbaharu yang dibuka adalah di Balai Raya Linggi, Port Dickson yang mula dibuka pada pukul 10 pagi tadi dan menempatkan seramai sembilan orang mangsa terdiri daripada dua buah keluarga.

“Sebuah lagi PPS di Port Dickson iaitu Balai Raya Pematang Pasir menempatkan seramai 60 mangsa dari lima keluarga manakala di PPS Surau Kampung Nerambai, Lubok China, Rembau pula masih kekal sama iaitu 10 orang mangsa daripada empat buah keluarga,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan, sehingga pukul 4 petang tadi paras air Sungai Linggi di Pekan Linggi tidak lagi berada di paras bahaya dan telah menunjukkan trend penurunan ke tahap amaran iaitu 3.21 meter berbanding bahaya 3.30 meter.

Paras air di Sungai Rembau di Titian Bintangor pula menunjukkan bacaan 4.64 meter iaitu di tahap amaran berbanding bahaya iaitu 4.8 meter.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN