KUALA LUMPUR: Duta Besar Palestin ke Malaysia mempersoalkan pengakuan lelaki Israel yang ditahan di ibu negara yang mendakwa dia memasuki negara ini untuk membunuh seteru ketua kumpulan mafia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Walid Abu Ali berkata, sekiranya motif lelaki Israel berusia 36 tahun itu tidak masuk akal untuk dia membeli dan memiliki enam senjata api bersama 200 peluru hanya untuk membunuh satu individu.
“Banyak persoalan yang timbul. Jika dia seorang mafia dan datang menggunakan pasport Perancis, siapa yang dia sasarkan dan dokumen apa menjadi keutamaan?
“Sudah berapa lama orang yang disasarkan berada di Malaysia? Bagaimana dia mendapatkan senjata di Malaysia? Mengapa dia memilih Malaysia dan bukan negara lain,” soalnya semasa ditemui semalam.
Oleh itu, kata beliau, pihaknya berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan menyeluruh mengenai dakwaan lelaki Israel itu.
“Pendedahan mengenai suspek tidak masuk akal. Terdapat banyak persoalan yang perlu dijawab oleh polis,” katanya.
KESELAMATAN
Susulan itu, Walid menggesa kira-kira 4,000 rakyatnya yang berada di negara ini termasuk pelajar meningkatkan keselamatan diri masing-masing.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, seorang lelaki Israel menggunakan pasport negara Perancis masuk ke ibu negara terbongkar selepas dia ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang dekat sini pada Rabu minggu lalu.
Lelaki itu masuk negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang itu turut menemukan bersamanya enam pucuk senjata api dan 200 butir peluru.
Senjata api itu didakwa dibelinya sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.
Senjata api itu ialah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4; Smith and Wesson; Sih Sauer dan Stoeger. PDRM sedang menyiasat semua dakwaan berkaitan lelaki Israel yang ditahan itu termasuk kemungkinan dia dalam misi membunuh seteru ketua kumpulan mafia lain atau suspek adalah ejen mossad.
Mengulas lanjut, Walid berkata, rakyat Palestin tidak perlu panik dan mereka kena terus mempercayai polis dan kerajaan Malaysia melindungi mereka.
KEKAL
“Kekal tenang, terus rasakan diri kita berada dalam keadaan yang selamat. Kita perlu kekal mempercayai polis dan keupayaannya untuk memastikan keselamatan rakyat Palestin di sini.
“Kita sudah menjadi sasaran oleh Israel sejak tujuh dekad lebih dan lebih 75 tahun. Kita sebagai rakyat Palestin perlu sentiasa berjaga-jaga bukan di Malaysia sahaja tetapi di mana jua kita berada,” tegasnya.
Sementara itu, Walid turut mendedahkan semua rakyat Israel mempunyai lebih daripada dua pasport dan itu membolehkan mereka ‘menyelinap’ masuk ke dalam negara-negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Zionis seperti Malaysia.
Beliau tidak menolak kebarangkalian terdapat beberapa lagi warga Israel yang sudah berjaya memasuki negara ini namun tidak dapat dikesan kerana menggunakan kewarganegaraan negara lain.
“Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel, jadi rakyat mereka tidak dialu-alukan di sini tetapi menurut informasi yang kami terima, semua warganegara Israel mempunyai dua pasport atau lebih.
PELANCONGAN
“Malaysia juga merupakan sebuah negara yang membuka pintu kepada seluruh negara kecuali Israel untuk tujuan pelancongan. Jadi mereka dengan mudah memasuki negara ini menggunakan pasport kedua sebagai pelancong atau mempunyai misi di sini.
“Boleh jadi ada lebih ramai warga Israel di Malaysia yang memasuki negara ini menggunakan pasport kedua mereka,” katanya.
Tambahnya, sejak dahulu lagi Israel sentiasa menyasarkan serangan terhadap rakyat Palestin yang berada di seluruh dunia sama ada diculik atau untuk dibunuh.
“Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia kami sudah alami ancaman seperti ini di seluruh dunia. Jika Israel putuskan untuk membunuh seseorang, mereka boleh menyamar dan buat apa sahaja mereka mahu.
“Ini kerana mereka tidak akan menggunakan pasport Israel untuk melakukan perkara seperti itu,” jelasnya.
Bagaimanapun, Walid berkata, pihak kedutaan sehingga kini tidak menerima aduan dan laporan daripada rakyat Palestin di Malaysia terima ancaman daripada warga Israel.
“Sebagai pejabat kedutaan Palestin, kami tidak menerima aduan mengenai rakyat Palestin di sini yang menjadi sasaran warga Israel mahupun menyedari sama ada orang bukan Palestin disasarkan oleh rejim Zionis.
“Jika ada rakyat Palestin yang menerima ugutan daripada Israel, terus membuat laporan kepada pihak kedutaan dan polis bagi tindakan lanjut,” tegasnya.- UTUSAN










