SEGAMAT: Sebanyak 214 buah rumah rosak dalam kejadian ribut di Felda Palong 1, Felda Palong Timur 2, Felda Palong Timur 3 dan Kampung Bakar Batu, di sini petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, kejadian ribut yang berlaku pada pukul 4.45 petang itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Pemeriksaan mendapati 101 buah rumah di Felda Palong Timur 3, 68 rumah di perumahan kilang sawit, 29 rumah di Felda Palong 1, 13 rumah di Felda Palong 2 dan tiga rumah di Kampung Bakar Batu mengalami kerosakan.
“Sehingga pukul 11 pagi, anggota polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat hanya menerima enam laporan polis daripada mangsa berkaitan kejadian ribut yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ahmad Zamry mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan keadaan cuaca semasa yang tidak menentu.
Orang ramai perlu segera memaklumkan kepada pihak polis berkaitan kejadian bencana untuk tindakan dan bantuan dapat segera diaturkan.
Sebarang maklumat boleh menghubungi pusat kawalan daerah Segamat menerusi talian 07-9324222. – UTUSAN










