PEKAN: Kadar bayaran zakat fitrah bagi negeri ini tahun ini kekal RM7 seorang.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kadar terbabit ditetapkan selepas mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah mendapat kelulusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.
Katanya, kadar bayaran diwajibkan bagi yang menggunakan beras wangi atau yang seumpama dan setara RM14, manakala yang menggunakan beras basmati atau seumpama dan setara RM21.
“Seramai 918 amil zakat fitrah ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan zakat fitrah di negeri ini. Justeru, umat Islam dinasihatkan membayar zakat hanya kepada amil yang ditauliahkan.
“Majlis juga menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara dalam talian melalui capaian ezakat.muip.gov.my dan melalui qr code Bank Muamalat,” katanya dalam sidang akhbar berhubung Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 2024 di Dewan Syarahan Muip di sini hari ini.
Menurut Ahmad Hairi, sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa mendapat kuasa atau dilantik oleh Muip boleh dikenakan tindakan atas kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Beliau memberitahu, sepanjang Ramadan ini, Muip akan mengagihkan bantuan RM20.28 juta membabitkan 38,965 penerima seluruh negeri ini.
“Bantuan ini termasuklah bantuan kepada asnaf dan fakir miskin, pengimarahan Ihya Ramadan, bantuan kepada masjid dan surau serta bantuan Hari Raya Aidilfitri. Orang ramai khususnya umat Islam diseru menunaikan zakat fitrah bermula awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN










