JEMPOL: Seorang warga emas di Bahau di sini memaafkan keluarga dan kanak-kanak lelaki yang telah menarik kerusinya sehingga dia terjatuh terlentang semasa solat berjemaah baru-baru ini.
Video kejadian yang berlaku di Masjid Al- Falah, Taman Tunku Puan Chik, Bahau di sini itu turut tular di media sosial.
Warga emas itu, Mohd. Kassim Maarof, 63, berkata, kejadian itu berlaku pada Ahad lepas ketika masjid menganjurkan majlis tahlil dan dihadiri lebih 150 orang jemaah.
Menurutnya yang merupakan pesara Jabatan Penerangan, dia langsung tidak menyedari kerusi yang digunakannya untuk solat telah ditarik oleh seorang kanak-kanak lelaki.
“Bila nak turun sujud tu (duduk di kerusi) itu yang terjatuh ke belakang dan kemudian terus terduduk. Saya sujud (isyarat tunduk) dalam keadaan melunjur.
“Saya meneruskan solat seperti biasa dan selepas itu saya berasa bahu saya sakit.
“Bapa kanak-kanak berkenaan datang meminta maaf kepada saya selepas dimaklumkan oleh jemaah wanita yang ternampak insiden saya jatuh terlentang ke belakang itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, dia tidak berasa marah dan sudah pun memaafkan bapa serta kanak-kanak tersebut sejurus selepas kejadian.
“Budak-budak memang begitu tetapi kita sebagai ibu bapa perlu mengawal anak-anak sekiranya dibawa ke masjid. Jika anak-anak boleh dikawal, masjid sememangnya mengalu-alukan kehadiran mereka.
“Namun, kanak-kanak yang belum mumaiyiz, hukumnya makruh dibawa ke masjid, antara sebab hukumnya makruh, adalah terjadinya kes seperti ini, kalau mahu bawa juga, pantaulah dengan sempurna,” katanya.
Mohd. Kassim dalam pada itu berkata, dia kini sedang dalam perjalanan membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta di Seremban oleh anaknya.
“Sepas kejadian, saya sudah buat imbasan X-ray dan tiada kecederaan serius. Saya tetap pergi tarawih namun malam tadi balik tarawih saya muntah.
“Bangun sahur muntah, selepas sahur muntah lagi tetapi larat pergi bersolat Subuh dekat surau namun balik dari surau muntah-muntah lagi dan kini telah dibawakan ke hospital oleh anak,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, dia terkejut apabila video berkenaan tersebar kerana hanya berkongsi dengan isteri dan juga dalam kumpulan WhatsApp masjid.
“Namun video ini boleh dijadikan pengajaran kepada semua pihak untuk menjaga anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti ini berlaku,” katanya lagi.
Sejak semalam video berdurasi seminit berkenaan tular di media sosial dan mendapat reaksi pelbagai pihak.-UTUSAN.










