Wanita maut terbabit nahas enam buah motosikal - Utusan Malaysia

Wanita maut terbabit nahas enam buah motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan enam buah motosikal di Kilometer 27.6, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) arah utara dekat Nilai, di sini awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, nahas pada pukul 2.30 pagi tersebut menyebabkan mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 22 tahun mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ujar beliau, hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian terdapat sekumpulan konvoi motosikal dari arah Seremban menuju ke Kajang, Selangor.

“Semasa tiba di lokasi kemalangan, salah sebuah motosikal daripada kumpulan tersebut dipercayai telah terbabas dan pada masa yang sama, lima buah motosikal lain yang berada di belakang telah memperlahankan kenderaan namun tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran sesama mereka. 

“Akibat kemalangan tersebut, seorang perempuan berumur 22 tahun merupakan penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC mengalami kecederaan parah di kepala telah meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abdul Malik berkata, lima orang penunggang lain yang cedera ringan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan dan kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pengawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Muhammad Hannan Ibrahim di nimbor 06-7904404,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN