TEMERLOH: Seorang wanita berusia 36 tahun maut manakala empat ahli keluarganya cedera selepas kereta Honda City dinaiki terlibat kemalangan di kilometer lapan, Jalan Persekutuan Jerantut-Temerloh berdekatan Kampung Paya Keladan di sini.
Dalam kejadian pukul 4.35 petang semalam itu, pemandu Honda City berusia 29 tahun beralamat di Mentakab serta tiga orang penumpang lagi berusia antara tiga hingga 25 tahun mengalami kecederaan akibat kenderaan tersebut terbabas dan melanggar tunggul pokok di tepi longkang.
Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta Honda City itu dalam perjalanan dari arah Jerantut ke Mentakab.
“Setiba di lokasi, pemandu dipercayai hilang kawalan terbabas ke laluan bertentangan dan kemudiannya terlanggar tunggul pokok di tepi longkang sebelah kanan jalan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.
Menurut Mazlan, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan bedah siasat akan dilakukan selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










