UDA titip keceriaan pada wajah anak asnaf Rumah Kasih Tun

UDA titip keceriaan pada wajah anak asnaf Rumah Kasih Tun Abdul Aziz

MOHD. NAZRI Jamiran menyampaikan duit raya kepada seramai 50 anak asnaf RKTAA dalam Majlis Sinar Ramadan UDA 2024 di Morten Walk, Kampung Morten, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kegembiraan serta kesyukuran jelas terpancar pada raut wajah seramai 50 anak asnaf pelbagai latar belakang dari Rumah Kasih Tun Abdul Aziz (RKTAA) ketika diraikan oleh kepemimpinan UDA Holdings Berhad (UDA) dalam Majlis Sinar Ramadan UDA 2024 di Morten Walk, Kampung Morten di sini, hari ini.

Anak-anak kurang bernasib baik itu menerima sumbangan zakat wakalah berjumlah RM15,000 disalurkan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares, yang mana setiap seorang diberikan duit raya bernilai RM300.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr. Mohd. Salem Kailany berkata, penyerahan zakat sempena Ramadan merupakan salah satu acara tahunan badan korporat itu bertujuan mendekati komuniti memerlukan khususnya di wilayah perniagaan UDA.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen UDA dalam memenuhi tanggungjawab sosial serta mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat, seterusnya menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat yang lebih inklusif.

“Semoga sumbangan ini juga mampu mengukir senyuman serta memberi keceriaan buat mereka dalam meraikan Syawal yang bakal tiba. Inisiatif ini sejajar dengan prinsip penjenamaan baharu UDA iaitu ‘L.I.F.E.’, akronim bagi Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa).

“Ia menunjukkan keterlibatan UDA mendukung aspirasi kelestarian negara dan masyarakat dengan menumpukan kepada aktiviti sosial dan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup, menyediakan peluang, kecekapan operasi dan CSR. Langkah yang menumpukan kepada kelestarian ini juga seiring dengan inisiatif meneruskan legasi UDA,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Majlis Sinar Ramadan UDA 2024 itu dihadiri Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Aset Kumpulan UDA, Azrudyn Rashid; Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd. Nazri Jamiran; Ketua Pegawai Operasi UDA Pertama Sdn. Bhd., Amir Ishak; Pengetua RKTAA, Norhafizah Abdullah serta barisan pengurusan dan kakitangan UDA.

UDA merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang berperanan sebagai peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti.

Mengulas berkenaan peranan Morten Walk, Azrudyn menjelaskan, hab keusahawanan yang terletak di lokasi strategik iaitu di pesisir Sungai Melaka itu bertujuan menyediakan ruang niaga kondusif kepada usahawan tempatan, seterusnya mempergiat aktiviti keusahawanan dan memacu ekonomi negeri.

Beliau berkata, usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dapat mengambil peluang meluaskan pasaran serta menaik taraf operasi perniagaan dengan memasarkan produk atau perkhidmatan mereka di Morten Walk yang dikelilingi pelbagai tarikan terkenal.

“Ia berada di perkampungan tradisional Kampung Morten, Jambatan Kampung Morten, Melaka River Cruise (MRC) dan Menara Taming Sari. Bagi menggalakkan usahawan untuk terus berkembang dan berdaya saing, UDA menyediakan bantuan kepada usahawan yang layak seperti kadar sewaan di bawah harga pasaran, insentif berupa kos pengurusan atau rebat sewaan dan manfaat fasiliti.

“Sempena bulan Ramadan, Morten Walk Hall menyediakan Bufet Destinasi Selera Orang Kita yang terbuka kepada orang ramai dengan menyajikan juadah berbuka puasa bertemakan aneka masakan kampung dari 14 Mac hingga 7 April 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN