Tipu cukai di KLIA, kerajaan rugi RM2 bilion

Tipu cukai di KLIA, kerajaan rugi RM2 bilion

AZAM Baki menunjukkan gambar kenderaan mewah yang disita dalam sidang akhbar Media Op Samba 2.0 di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya, dekat sini semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan lebih 10 kargo yang membawa barangan bercukai berkemungkinan ‘lolos’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada satu-satu masa.

Barangan seperti tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan yang diimport dari India, Bangladesh dan China diseludup masuk ke negara ini sehingga menyebabkan kerajaan kerugian sebanyak RM2 billion.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, bara­ngan yang sepatutnya dikenakan cukai telah ‘dilepaskan’ oleh penguat kuasa tanpa pengikraran Borang Kastam 1 (K1) dan pemeriksaan teliti.

“Kegiatan penyeludupan ini bukan sahaja disyaki berlaku di kargo KLIA tetapi berkemungkinan juga berlaku di kargo dan pelabuhan-pelabuhan lain,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, seramai 34 anggota dan pegawai serta anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan selepas bersekongkol dengan sindiket penyeludupan berkenaan.

Kata beliau, menerusi operasi khas Op Samba 2.0 dilakukan pada 11 sehingga 25 Mac lalu yang diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) turut menahan 27 orang awam dan pemilik syarikat ejen penghantaran.

Jelas beliau, mereka ditahan terdiri daripada anggota penguat kuasa berpangkat gred 19 hingga gred 44 dengan memegang jawatan sebagai Pembantu Penguasa Kastam sehingga Penolong Pengarah Kastam berusia 30 dan 50-an.

“Mereka ini disyaki telah menerima bayaran tertentu daripada syarikat ejen penghantaran sebagai balasan melindungi aktiviti penyeludupan yang dijalankan sejak tahun 2017 sehingga kini.

“Hasil kegiatan ini, kese­mua mereka disyaki menerima wang rasuah berjumlah lebih RM4.7 juta hasil bersekongkol dengan sindiket terlibat,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Azam ber­kata, lapan kenderaan mewah dimiliki pemilik syarikat termasuk telefon bimbit, komputer riba turut disita bagi membantu siasatan.

Selain itu, beliau memak­lumkan, sejumlah 231 aka­un bank berjumlah RM17,621,578.50 disyaki milik individu dan syarikat yang bertindak sebagai keldai akaun turut dibekukan.

“Sindiket ini akan menggunakan perkhidmatan ejen penghantaran sebagai orang tengah bagi pembayaran rasuah kepada penguat kuasa yang bertugas dalam pemeriksaan dan pencegahan di Kargo lapangan terbang itu.

“Pembayaran rasuah itu sebagai balasan bagi melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya,” jelasnya.

Kata Azam, akaun keldai akan digunakan untuk mela­kukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada pegawai-pegawai Kastam bagi mengelakkan transaksi kewangan tersebut dikesan oleh pihak berkuasa.

“Akaun keldai ini diwujudkan bagi memasukkan pembayaran rasuah sebelum wang itu disalurkan kepada akaun peribadi pegawai-pegawai terlibat dengan jumlah tertentu,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan lebih 20 syarikat pengimport yang dikenal pasti SPRM menguasai ke­giatan menyeludup tembakau, rokok dan arak secara haram di pintu sempadan negara.

Kegiatan yang bergerak aktif sejak 2017 hingga tahun lalu itu menyebabkan ketirisan hasil cukai negara yang dianggarkan kira-kira RM400 juta.

Satu sumber mendedahkan, pembayaran sebanyak RM500 sehingga 5,000 telah dilakukan syarikat-syarikat tertentu kepada pegawai yang bertugas di pintu negara agar tiada tindakan diambil terhadap barangan yang diimport.

Sumber memberitahu, sin­di­ket-sindiket berkenaan kebiasaanya akan menyasarkan pelabuhan-pelabuhan tertentu untuk menyeludup barangan yang diimport oleh pemilik-pemilik syarikat pengimport.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×