Suami isteri sebak, terima diploma anak meninggal dunia akibat kemalangan - Utusan Malaysia

Suami isteri sebak, terima diploma anak meninggal dunia akibat kemalangan

ANUAR Ahmad (kanan) dan isteri, Aminah Sahadan (tengah) menerima skrol Diploma Kosmetologi mewakili Allahyarham Nur Adlina Nabilah, 20, yang disampaikan oleh Fadhlina pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Kali Ke-8 2023 di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Biarpun sebak namun sepasang suami isteri tetap menguatkan semangat menerima sijil diploma secara Anumerta buat Allahyarham anak perempuan mereka pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia kali Ke-8 2023 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, di sini hari ini.

Hanya linangan air mata mengiringi langkah pasangan suami isteri itu, Anuar Ahmad, 49 dan Aminah Sahadan, 46, ketika mereka menerima skrol Diploma Kosmetologi mewakili anak mereka, Allahyarham Nur Adlina Nabilah, 20, yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. 

Nur Adlina yang merupakan graduan dari Kolej Vokasional Sungai Petani 2, meninggal dunia pada 25 Disember tahun lalu akibat kemalangan jalan raya di Air Itam, Penang ketika menunggang motosikal dalam perjalanan ke kampung halamannya di Sungai Petani, Kedah. 

Menurut Aminah, walaupun hasrat melihat puteri kesayangannya itu untuk naik ke atas pentas untuk mengambil sijil diploma tersebut tidak kesampaian, namun dia berbangga dengan pencapaian Allahyarham Nur Adlina. 

“Saya reda dengan ketentuannya dan tetap berbangga dengan kejayaan Allahyarham. Detik inilah memang paling ditunggu-tunggu Allahyarham kira-kira dua, tiga minggu sebelum dia habis praktikal, tetapi Allah SWT lebih sayangkan dia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Menurutnya, sebelum kejadian, Allahyarham Nur Adlina telah sebulan bekerja di sebuah hospital di Pulau Pinang. 

“Ketika dalam pengajian, Nur Adlina seorang yang bijak dan cerdik, serta pernah juga dinobatkan pelajar cemerlang pada bulan September tahun lalu selepas mendapat markah akademik yang baik. 

“Rasa pilu, sedih, tuhan sahaja yang tahu, perasaan ibu bapa, setelah pemergian anak,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkara berlainan, majlis konvokesyen berkenaan turut memberikan Anugerah Menteri Pendidikan kepada Graduan Diploma Teknologi Sistem Pengurusan Pangkalan Data dan Aplikasi Web, Abdullah Amien Nazri, 21. 

Ketika ditemui, graduan dari Kolej Vokasional Shah Alam, Selangor itu menyatakan rasa syukur atas anugerah yang diterimanya itu.

“Apabila saya berada di di kolej vokasional barulah nampak keupayaan saya dalam pengajian. Insya-Allah jika diberikan rezeki, saya ingin melanjutkan pengajian di dalam bidang pendidikan teknologi maklumat dan juga  sekuriti siber,” kata anak bongsu dari dua beradik itu. –UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN