GEORGE TOWN: Jumlah nelayan yang berdaftar di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi projek pembangunan Pulau Pinang Selatan (PSI) kini mencapai 92.3 peratus secara keseluruhannya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC) Sdn. Bhd., Datuk Seri Farizan Darus, jumlah itu termasuk pendaftaran 100 peratus yang diterima daripada unit nelayan Permatang Tepi Laut dan Gertak Sanggul selain 92.3 peratus dari unit Teluk Tempoyak.
Katanya, unit-unit nelayan yang lain seperti di Teluk Kumbar, Batu Maung, Seri Jerjak, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burong juga secara amnya mencatatkan lebih daripada 92 peratus pendaftaran kecuali unit Sungai Batu iaitu sebanyak 54.22 peratus sahaja.
Ketika ini katanya, sesi libat urus sedang giat dijalankan dengan nelayan yang layak tetapi masih belum mendaftar iaitu selewat-lewatnya hujung bulan ini manakala 80 peratus atau 215 daripada baki 29 peratus atau 272 nelayan tersebut dianggap tidak aktif atau tidak lagi layak untuk berbuat demikian.
Di bawah cadangan SIMP sebelum ini, kerajaan negeri telah mengumumkan satu pakej pemberian sagu hati selain program yang akan memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan termasuk program pemerkasaan serta skim perumahan.
Nelayan yang akan menerima manfaat tersebut pula terbahagi kepada dua iaitu tahap 1 yang melibatkan unit Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul manakala tahap 2 pula melibatkan nelayan dari Seri Jerjak, Batu Maung, Teluk Tempoyak, Pulau Betong serta Kuala Sungai Burong. – UTUSAN











