TANJUNG MALIM: “Semua sudah tiada.” Demikian kata Attar Azim Syukran Jamil, 9, selepas diberitahu ibu bapa dan dua adiknya maut dalam kemalangan di Kilometer 76.5, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kuala Krai di Kelantan, semalam.
Dalam kejadian pukul 1.40 petang itu, Perodua Myvi dinaiki Attar Azim bersama empat ahli keluarga lain bertembung dengan Nissan March dipandu lelaki warga Thailand berusia 39 tahun yang memasuki laluan bertentangan.
Nahas tersebut mengakibatkan ibu bapa kanak-kanak terbabit, Syukran Jamil Ab. Hamid dan Noor Aishah Razali masing-masing berusia 35 tahun serta adiknya, Lufya Adeena berusia setahun, maut di lokasi kejadian.
Seorang lagi adiknya, Ahya Rafiqi, 6, pula disahkan meninggal dunia pukul 3.15 petang semalam ketika dirawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.
Menurut ibu saudara kanak-kanak itu, Umi Salwa Ab. Hamid, 40, Attar Azim pada mulanya tidak percaya dan hanya menganggap berita tersebut sebagai gurauan ketika diberitahu oleh datuk sebelah ibunya semalam.
Bagaimanapun katanya, berita tersebut sekali lagi dimaklumkan kepada anak saudaranya itu pagi semalam sehingga menyebabkan dia terdiam.
“Semalam, dia (Attar Azim) macam tak percaya dan ingat main-main tapi bila pak longnya beritahu lagi, dia pandang ke atas dan mengeluh.
“Bapa saudaranya ada tanya kenapa mengeluh sebelum dijawab ‘semua sudah tiada’. Reaksinya ketika itu hanya tersenyum tapi kita tahu dia sebenarnya sedang menahan sebak,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Felda Trolak Utara, Sungkai di sini, semalam.
Menurut Umi Salwa, berita mengenai kejadian itu diketahui ahli keluarga selepas bapanya dihubungi jururawat yang mendapat nombor daripada telefon bimbit Attar Azim.
Katanya, ketika berita itu disampaikan, ibu bapanya tidak mampu berkata-kata kerana terkejut, namun mereka reda dengan kejadian menimpa Syukran Jamil yang juga guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Ar-Raudhah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam.
“Kami adik-beradik memang rapat, malah Ame (Syukran Jamil) yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik sangat akrab dengan anak-anak saudara. Arwah seorang yang suka bergurau dan ceria.
“Dia juga mewarisi bakat abah dalam nyanyian. Selepas ini tiada lagi suaranya menghiburkan kami. Kalau dalam keluarga, memang dialah penghibur,” ujarnya.
Tambahnya, jenazah empat beranak itu dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara sebelum solat Maghrib. – UTUSAN










