Sekitar 259,000 murid, pelajar mulakan sesi persekolahan di Pahang - Utusan Malaysia

Sekitar 259,000 murid, pelajar mulakan sesi persekolahan di Pahang

GELAGAT murid Tahun 1 sesi akademik 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Indera Mahkota Utama di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sesi persekolahan 2024/2025 bagi negeri ini bermula hari ini dengan kira-kira 259,000 murid dan pelajar hadir ke sekolah masing-masing.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Amzan Abdul Malek berkata, daripada jumlah tersebut, 16,192 murid pra sekolah, 24,978 murid tahun satu dan 24,052 pelajar tingkatan satu.

Katanya, jumlah tersebut membabitkan 739 buah sekolah dengan 541 adalah sekolah rendah dan 198 sekolah menengah.

“Bagi negeri Pahang, data tepat kemasukan pelajar belum stabil sebab masih ada yang keluar dan masuk sekolah. Keseluruhannya lebih kurang 259,000 pelajar di seluruh negeri. Data akan stabil setelah tempoh sebulan persekolahan.

“Namun murid atau pelajar yang masuk ke sekolah bagi satu kohort setiap tahun bagi darjah satu dan tingkatan satu adalah sekitar 24,000 jadi jumlah keseluruhannya lebih kurang 259,000 hingga 260,000 bagi semua sekolah termasuk pra sekolah dan tingkatan enam,” katanya ketika mengadakan lawatan Pembukaan Sekolah Sesi Akademik 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Indera Mahkota Utama di sini hari ini.

Menyentuh persedian menghadapi Ramadan, Amzan berkata, para ibu bapa dan guru diingatkan supaya sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan murid sepanjang sesi persekolahan.

“Pertama sekali kepada pelajar dan murid, utamakan keselamatan sama ada ketika datang sekolah, ketika berada di sekolah dan ketika balik ke sekolah.

“Dan bila berkaitan dengan cuaca ini, kita juga berhadapan dengan cuaca panas jadi inilah perkara yang perlu diutamakan bukan sahaja guru-guru tetapi juga ibu bapa… pastikan nutrisi anak-anak cukup, bersahur dan datang apabila datang ke sekolah pesanlah supaya mereka tidak bermain di tempat panas dan sebagainya,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan ibu bapa pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar memastikan anak mereka melakukan persediaan lebih awal.

“Kita sekarang sudah tak ada peperiksaan dari darjah satu. Kita hanya ada SPM. Pastikan mereka bersedia awal. Mula dari sekolah ini hinggalah peperiksaan yang akan mereka hadapi pada tahun hadapan. Mula daripada sekarang sebab inilah peperiksaan keutamaan bagi mereka untuk survival hidup mereka selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×