Sanggup berhutang nak sambut raya

Sanggup berhutang nak sambut raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trend berhutang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri meningkat mendadak termasuk membuat pinjaman dengan along yang mengenakan kadar faedah tinggi.

Trend meminjam daripada along atau pemberi pinjam wang tidak berlesen didapati meningkat 50 hingga 60 peratus setiap kali tiba musim Hari Raya Aidilfitri.

Turut meningkat adalah jumlah pinjaman peribadi oleh penjawat awam yang mencatat penambahan 10,000 permohonan setiap kali menjelang 1 Syawal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, antara faktor peningkatan adalah kerana keinginan menukar kereta baharu, perabot, langsir, meja makan dan alat elektrik walaupun tidak berkemampuan.

Jelas beliau, along telah ‘masak’ dengan trend tersebut dan mereka sentiasa bersedia menerima peningkatan jumlah pelanggan manakala pemiutang pula ketika itu kurang berkira  dengan kadar faedah tinggi
kerana terdesak mahu menukar barang-barang baharu.

Katanya, peningkatan meminjam dengan along biasanya sehingga 50 hingga 60 peratus berbanding sekitar 30 dan 40 peratus di luar musim perayaan.

Lebih membimbangkan, tambahnya, terdapat along yang menawarkan pinjaman secara dalam talian serendah RM200 dengan kelulusan tidak sampai sejam sekali gus menyebabkan lebih ramai tertarik
untuk meminjam.

“Kami terima kes yang buat pinjaman RM200 pun ada tetapi kena bayar berlipat kali ganda, ada mencecah RM2,000 termasuk faedah pinjaman. Ini menyebabkan ramai menderita selepas habis raya.

“Demi ingin bergaya dan hidup mewah, akhirnya masyarakat terperangkap dan menjadi buruan along setiap masa kerana tidak mampu bayar hutang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, jumlah pinjaman peribadi penjawat awam meningkat 10 peratus atau tambahan 10,000
permohonan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Beliau memberitahu, berbanding pada bulan-bulan bukan musim perayaan menyaksikan jumlah permohonan diterima pihaknya adalah 30,000, namun kadar itu meningkat sehingga 40,000 permohonan.

Katanya, antara faktor peningkatan berikutan ingin melakukan perbelanjaan untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri dan membeli barang keperluan semasa sesi baharu pembukaan sekolah, baru-baru ini.

“Memandangkan majoriti penjawat awam terdiri daripada kaum Melayu, jadi jumlah permohonan potongan gaji diterima Angkasa untuk mengutip pembayaran balik pembiayaan bertambah antara
5,000 hingga 10,000.

“Buat masa ini, jumlah keseluruhan penjawat awam yang melakukan pemotongan gaji melalui Angkasa adalah sekitar 800,000 orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Abdul Fattah, tidak dinafikan jumlah peminjam di institusi-institusi pembiayaan terutama di musim persekolahan dan perayaan ini meningkat kerana berkemungkinan mereka memerlukan wang tunai untuk perbelanjaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat untuk mengelak sikap boros dan sanggup berhutang demi berbelanja sakan semata-mata mahu memenuhi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, peminjam yang membuat pembiayaan hendaklah berhemat dalam berbelanja iaitu mengutamakan keperluan sahaja.

“Selain itu, penjawat awam sewajarnya membuat pembiayaan hanya menerusi pelanggan-pelanggan Sistem Potongan Gaji Angkasa (SPGA) dan bukan saluran-saluran pembiayaan tidak rasmi.

“Ini kerana jika tidak melalui SPGA, ia tidak memenuhi kriteria nisbah khidmat hutang (DSR) iaitu had keberhutangan tidak melebihi 60 peratus potongan gaji dan pembayaran pembiayaan dapat dibuat secara
sistematik jika menggunakan sistem potongan gaji,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×