PETALING JAYA: Penahanan 34 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak membongkar ketirisan hasil cukai kerajaan sebanyak RM2 billion dalam tempoh tiga tahun sejak 2017.
Menerusi operasi khas Op Samba 2.0 bermula 11 sehingga 25 Mac lalu dengan diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) turut menahan 27 orang awam dan pemilik syarikat ejen penghantaran (forwarding agent).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai kastam yang ditahan membabitkan mereka yang berpangkat dari Pembantu Penguasa Kastam sehingga Penolong Pengarah Kastam.
Menurut beliau, kesemua mereka berusia 30 hingga 50-an dan masing-masing bertugas di bahagian pemeriksaan dan pencegahan di Cawangan Import/Eksport Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Kata beliau, syarikat-syarikat ejen penghantaran dikesan membayar rasuah kepada 34 kakitangan dan pegawai kastam itu bagi melindungi aktiviti penyeludupan dijalankan sejak tahun 2017 sehingga kini.
RASUAH
“Pegawai dan anggota kastam tersebut dikesan menerima rasuah berjumlah lebih RM4.7 juta daripada sindiket berkenaan. Dengan rasuah itu kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan lancar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, berikutan penahanan 34 anggota dan pegawai kastam itu membawa kepada rampasan lapan kenderaan mewah dimiliki pemilik syarikat termasuk telefon bimbit, komputer riba bagi membantu siasatan.
Kata Azam, sejumlah 231 akaun bank dengan wang berjumlah RM17,621,578.50 turut dibekukan kerana disyaki dimiliki individu- individu dan syarikat yang menjadi keldai akaun kepada sindiket penyeludupan itu.
Jelas beliau, kenderaan milik syarikat yang disita itu akan dilupus hak menjadi milik kerajaan sebelum dilelongkan kerana ia diperoleh secara haram.
“Modus operandi ini, sindiket akan menggunakan perkhidmatan ejen penghantaran sebagai orang tengah bagi pembayaran rasuah kepada penguat kuasa.
PROSES
“Pembayaran rasuah itu sebagai balasan bagi melicinkan proses penyelundupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya,” jelasnya.
Kata Azam, akaun keldai akan digunakan bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada pegawai-pegawai kastam bagi mengelakkan transaksi kewangan tersebut dikesan oleh pihak berkuasa.
“Akaun keldai ini diwujudkan bagi memasukkan pembayaran rasuah sebelum wang itu disalurkan kepada akaun peribadi pegawai-pegawai terlibat dengan jumlah tertentu,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan lebih 20 syarikat pengimport dikenal pasti SPRM menguasai kegiatan menyeludup tembakau, rokok dan arak secara haram di pintu-pintu sempadan negara.
Kegiatan yang aktif sejak 2017 hingga tahun lalu itu menyebabkan ketirisan hasil cukai negara yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM400 juta.
Satu sumber mendedahkan, pembayaran sebanyak RM500 sehingga 5,000 telah dilakukan syarikat-syarikat tertentu kepada pegawai yang sedang bertugas di pintu negara agar tiada tindakan diambil ke atas barangan yang diimport.
Kata sumber itu, bayaran yang dibuat pemilik-pemilik syarikat yang bertindak sebagai ejen-ejen penghantaran (forwarding agent) di kargo pintu masuk negara adalah agar tiada tindakan terhadap syarikat importer bagi mengelak pembayaran duti kastam.
Sumber memberitahu, sindiket-sindiket berkenaan kebiasaanya akan menyasarkan pelabuhan-pelabuhan tertentu untuk menyeludup barangan yang diimport oleh pemilik-pemilik syarikat pengimport.- UTUSAN










