MUAR: Keseronokan lapan remaja mandi-mandi di sebuah lombong berhampiran Surau Kampung Parit Ibrahim, Jalan Parit Shafie, dekat sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, petang semalam.
Kumpulan remaja itu dipercayai mandi-manda di lombong terbabit pukul 4.57 petang.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, salah seorang remaja lelaki berusia 15 tahun tiba-tiba tenggelam ketika sedang mandi-manda di lombong kebun kelapa sawit berkenaan.
“Rakan mangsa cuba membantu, namun tidak berhasil sebelum mereka membuat panggilan kecemasan.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar tiba ke lokasi kejadian dan melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke atas mangsa, ”katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, mayat mangsa ditemukan pada kedalaman tiga meter di dasar lombong.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk bedah siasat.
Polis menasihatkan ibu bapa mengawasi pergerakan anak-anak dan mengelakkan bermain di kawasan berisiko tinggi. – UTUSAN










