KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat melaksanakan reformasi pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebelum akhir penggal ini
Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR), Syed Ibrahim Syed Nor berkata, pihaknya berharap agenda reformasi tersebut dapat dilaksanakan dalam dua ke tiga tahun lagi.
Katanya, beliau memahami bahawa terdapat pihak yang mengatakan pengasingan kuasa tersebut perlu disegerakan dan tidak ada sebab-sebab yang munasabah untuk menangguhkan lagi agenda reformasi itu.
“Ia melibatkan pindaan Perlembagaan, jadi ini bukan perkara yang remeh dan kecil. KRPPM-IGAR percaya sekali pun pelbagai cabaran terpaksa didepani oleh kerajaan dalam pelaksanaan pengasingan kuasa tersebut tetapi gerak kerja tetap harus diterus serta dicepatkan untuk memastikan sistem perundangan tidak dibayangi oleh persepsi negatif.
“Seperti bahawa terdapat pilih kasih, ada konflik kepentingan antara tanggungjawab Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Saya percaya ini juga boleh memberi keyakinan kepada rakyat, orang luar serta mengurangkan dari segi defisit tidak percaya itu,” katanya semasa sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, reformasi pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan satu proses yang panjang.
Kata beliau, sebagai negara yang mempunyai pelbagai undang-undang, kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk melakukan kajian menyeluruh dan mendalam supaya keputusan yang dibuat tidak berubah di kemudian hari.










