Ramai ke bazar tapi kurang beli - Utusan Malaysia

Ramai ke bazar tapi kurang beli

SUASANA di bazar Ramadan di Persiaran Wawasan, Gua Sami, Kangar, Perlis kelmarin meriah namun pengunjung kurang membeli. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bazar Ramadan di bandar raya ini terus menjadi tumpuan walaupun harga makanan dan minuman naik 10 sehingga 20 peratus gara-gara kenaikan harga barangan keperluan.

Tinjauan di beberapa lokasi tumpuan mendapati orang ramai tetap memenuhi bazar Ramadan bagi mendapatkan juadah pada hari pertama berpuasa.

Seorang pengunjung, Mohd. Hasrul Nizam Roslan, 34, berkata, harga beberapa jenis makanan seperti kuih-muih dan lauk-pauk meningkat antara 50 sen sehingga RM1.50.

Pekerja swasta itu bagaimanapun berkata, kenaikan harga sudah dijangka menyebabkan ramai pengunjung berbelanja mengikut keperluan dan tidak membazir.

“Tetapi terdapat beberapa jenis kuih yang naik (harga) dengan ketara contohnya popia yang sebelum ini boleh dibeli pada harga RM2 untuk tiga biji tetapi hari ini sudah berharga RM1 sebiji,” katanya di Bazar Ramadan Batu Buruk di sini, semalam.

Bagi penjawat awam, Nur Ilyani Rosli, 42, kenaikan harga makanan dan minuman mendorongnya berbelanja mengikut kemampuan dan mengelak daripada boros.

PENIAGA AYAM

Sementara itu peniaga ayam pusing dikenali sebagai Adi, 37, berkata, dia terpaksa menaikkan harga daripada RM28 seekor ketika Ramadan tahun lalu kepada RM30 tahun ini.

Adi berkata, keputusan itu diambil kerana didorong ketidakstabilan harga ayam di pasaran serta kenaikan harga bahan mentah dan kos operasi lain.

“Tahun ini saya menjual pada harga RM30 (seekor) dan RM15 untuk separuh ekor iaitu kenaikan RM2 berbanding Ramadan tahun lalu gara-gara harga barang dan kenaikan caj sewa tapak,” ujarnya.

Di Seremban meskipun berdepan cabaran kenaikan harga barangan tetapi orang ramai tetap menjadikan bazar Ramadan sebagai lokasi mendapatkan juadah.

Tinjauan di Bazar Ramadan Putra Point, Bandar Baru Nilai di sini kelmarin mendapati keseluruhan 100 tapak niaganya yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman menjadi tumpuan pengunjung.

Pengerusi penganjurnya, Muhammad Jailani Ahmad Zawawi berkata, pihaknya menjangkakan hari pertama jualan semalam kurang mendapat sambutan namun sebaliknya berlaku.

“Mungkin orang ramai mahu berbuka puasa bersama keluarga terlebih dahulu namun diperhatikan ramai pula yang datang berbelanja, Alhamdulillah sambutan sangat baik.

“Dari segi harga saya lihat ada kenaikan sikit ataupun kuantiti dikecilkan, namun masih berpatutan. Sebagai contoh tahun lepas harga kuih tepung pelita RM5 untuk enam biji namun kali ini saya lihat harga yang sama namun kuatitinya berkurangan untuk lima biji sahaja,” katanya.

BERJIMAT

Di Kampar, pengunjung di Bazar Ramadan Dataran Bandar Baru Kampar di sini memilih untuk berjimat pada tahun ini.

Seorang penjawat awam, Hakim Ali, 41, berjimat cermat kerana sesi persekolahan yang bermula Isnin lalu menelan belanja yang besar setelah empat anaknya kembali ke sekolah.

“Saya berbelanja hampir RM2,000 untuk memenuhi barangan persekolahan anak jadi agak berjimat di bazar Ramadan untuk membeli kuih.

“Kebanyakan kuih seperti karipap, koci, ketayap, seri muka, ondeh-ondeh, agar-agar dan talam sebekas masih mengekalkan harga yang sama bermula RM2 hingga RM3 mengikut bilangan kuih.

“Namun, saiznya lebih kecil berbanding sebelum ini mungkin kerana kos bahan mentah yang lebih mahal sekarang berbanding sebelum ini,” katanya di sini semalam.

Seorang pekerja swasta, Nuraini Ismail, 32, berkata, dia tidak sempat untuk memasak makanan untuk berbuka puasa kerana waktu kerjanya tamat pada pukul 6 petang.

“Saya menetap di Tapah namun bekerja di Kampar, tidak sempat nak masak jadi beli di bazar Ramadan ini sahajalah.

“Biasa saya beli nasi ayam RM7 di bazar Ramadan ini syukur harganya masih sama cuma saiz ayam dan nasi lebih kecil berbanding sebelum ini.

“Selain itu, timun, sayur salad dan sup kosong ‘tidak meriah’ seperti sebelum ini,” katanya.

HARGA LELONG

Tinjauan juga mendapati pengunjung ramai seperti sebelum ini cuma kurang membeli.

Selain itu, ada yang menunggu harga lelongan peniaga untuk menghabiskan stok makanan iaitu potongan lebih 60 peratus berbanding harga asal.

Di Kangar, kedatangan Ramadan sehari selepas sesi persekolahan yang menyaksikan ibu bapa sudah habis berbelanja membeli kelengkapan sekolah, menyebabkan mereka lebih berjimat termasuk ketika membeli juadah berbuka di bazar-bazar Ramadan.

Meskipun suasana di bazar Ramadan pada hari pertama puasa kelmarin penuh sesak, namun orang ramai dilihat membeli makanan atau minuman yang menjadi keperluan sahaja, selebihnya hanya ‘mencuci mata’ bagi merasai kemeriahan di bazar setahun sekali itu.

Malah, pemerhatian di bazar Ramadan Persiaran Wawasan di sini mendapati orang ramai penuh sesak namun kebanyakkan mereka dilihat hanya membawa satu atau dua plastik makanan.

Jika sebelum ini, sekurang-kurangnya RM50 disediakan bagi membeli pelbagai jenis juadah, namun rata-rata pengunjung ada yang membelanja sekitar RM20 sahaja bagi membeli beberapa jenis makanan dan minuman.

Seorang pengunjung, Khadijah Ismail,30, berkata, dia hanya membeli satu atau dua jenis lauk pauk serta sebungkus air dengan perbelanjaan sekitar RM15.

HARGA

Katanya, harga makanan di bazar dilihat masih terkawal jika ada kenaikan sekali pun tidak terlalu tinggi meskipun berdepan kenaikan kos barangan mentah seperti bawang dan sebagainya.

“Pada hari pertama puasa ini, bazar Ramadan sememangnya penuh sesak namun kali ini, saya lihat rata-rata pengunjung hanya membeli satu atau jenis makanan. Seperti biasa yang menjadi tumpuan seperti martabak, roti john dan pelbagai jenis juadah berasaskan ayam.

“Mungkin orang ramai mula berjimat cermat selepas sesi persekolahan sebelum ini dan bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, adalah lebih baik berjimat cermat,” kata kakitangan swasta itu.

Seorang lagi pengunjung, Fazima Ibrahim,36, berkata, dia hanya membeli ayam golek berharga RM26 seekor dan minuman, kesemua berharga sekitar RM30.

Katanya, dia membawa anak-anak lebih kepada ingin merasai suasana dan kemeriahan di bazar Ramadan namun apabila berbelanja, dia mengambil pendekatan berjimat cermat.

Sementara itu, seorang peniaga ayam golek, Sharol Naim Yusri, 24, berkata, ayam dijualnya laris hari pertama Ramadan.

Pada hari pertama, saya hanya menyediakan 10 ekor dan melihat kepada sambutan, saya mungkin akan menambah lagi bekalan ayam pada hari-hari seterusnya,” katanya.

Di Perlis, terdapat enam bazar Ramadan di Persiaran Wawasan Kangar; Dataran Niaga Arau; Taman Kemajuan; Kuala Perlis dan Jalan Besar, Padang Besar serta Kompleks Bazar Jejawi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×