JEMPOL: Polis kini sedang memburu seorang lelaki yang merupakan suspek kes pecah kedai membeli emas terpakai dan surat pajak gadai di Bahau, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, lelaki itu dikenali sebagai Danial berusia 19 tahun beralamat Batu 11. Jalan Raja Musa, Kuala Selangor dan terkini di Machap, Melaka.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita yang merupakan pekerja kedai berkenaan kira-kira pukul 10 pagi pada 8 Mac lalu.
“Bertindak atas maklumat dan siasatan mengenai kecurian tersebut, pihak polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki yang terlibat dalam kes ini pada petang hari yang sama laporan diterima.
“Hasil siasatan awal terhadap suspek mengaku melakukan pecah kedai bersama seorang rakan lelaki yang masih bebas. Suspek dipercayai masuk ke kedai dengan cara memanjat bumbung dan memecahkan siling kedai,” katanya kepada pemberita, di sini.
Ujar Chang Hook lagi, siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedua-dua lelaki berkenaan telah hadir sehari sebelum kejadian ke kedai tersebut bagi menjual jongkong emas.
Bagaimanapun menurutnya, jongkong emas yang dibawa suspek didapati palsu.
Sehubungan itu, menurutnya, pihak polis menyeru kepada mana-mana individu yang maklumat berkenaan kes dan suspek yang masih bebas untuk tampil dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Aishah Jamaludin di nombor telefon, 06-4582222 bagi membantu siasatan.
“Semua maklumat yang diperoleh akan disiasat dengan teliti. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN.










