SEREMBAN: Kematian pesilat dari Terengganu, Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 20, selepas menyertai satu pertandingan di Sikamat dekat sini semalam adalah disebabkan pendarahan di otak.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, perkara tersebut juga disahkan semasa Allahyarham diberikan rawatan di hospital.
“Sebab kematian adalah pendarahan di otak, telah disahkan semasa rawatan di hospital.
“Pihak polis juga akan buka sudden death report dan akan mengambil percakapan penganjur dan saksi-saksi lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini media melaporkan, Wan Muhammad Haikal meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai Kejohanan Silat Pra-Sukma Negeri Sembilan 2024 di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat dekat sini petang semalam.
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Bibi Aishah Golbal Shah berkata, Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 1.20 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dekat sini.
Beliau berkata, sebelum itu, Allahyarham sedang bertanding pada peringkat suku akhir bagi kategori Kelas I Putera menentang seorang peserta dari Johor dalam kejohanan itu kira-kira pukul 2.30 petang semalam .
“Kira-kira dua minit sebelum masa tamat Allahyarham tiba-tiba rebah dan pasukan perubatan bergegas memberikan bantuan kecemasan.
“Wan Muhammad Haikal telah dikejarkan ke HTJS oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) tetapi meninggal dunia kira-kira pukul 1.20 pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Kampung Alur Selising, Jerteh, Besut, Terengganu kira-kira pukul 11.40 pagi tadi dari HTJS dan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung tersebut selepas solat Isyak hari ini.-UTUSAN.










