Persiapan sambut Aidilfitri musnah

Persiapan sambut Aidilfitri musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Persiapan enam beranak menyambut Aidilfitri tidak lama lagi musnah selepas rumah mereka masing-masing di Kampung Gerong di sini terbakar tengah hari tadi.

Kebakaran pukul 12.45 tengah hari itu menyebabkan enam beranak dari dua keluarga tersebut tinggal sehelai sepinggang.

Mangsa, Jawadah Mahmood, 54, berkata, dia pada awalnya melihat kepulan asap keluar dari kawasan rak menyimpan perkakas dapur sebelum api merebak membakar dinding rumahnya.

Menurutnya, dia ketika itu sedang menyiang ikan dan terkejut melihat ada kebakaran kecil dari celah rak besi.

“Panik dengan situasi itu, dia terus memanggil suaminya, Mat Azhar Mat Said, 53, yang ketika itu bersama tiga anak berusia 15, 13 dan 8 tahun di ruang tamu untuk memadamkan kebakaran tersebut.

“Api semakin marak membakar dinding dapur dan bekalan elektrik terputus menyebabkan usaha memadam kebakaran itu gagal kerana bekalan air telaga tiub terputus,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Jawadah yang bekerja sebagai guru memberitahu, dia dan suaminya terus membawa tiga anak mereka keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, semua pakaian untuk menyambut lebaran yang telah dibeli untuk anak-anaknya sebelum Ramada tidak dapat diselamatkan.

“Dua daripada 12 ekor kucing yang berada di dalam sangkar turut tidak dapat dapat diselamatkan.

“Selain rumah, dua buah kereta jenis Proton Saga dan Perodua Myvi milik saya dan suami turut hangus,” ujarnya.

Seorang lagi mangsa, Asiah Ismail, 72, berkata, kebakaran yang berlaku di rumah adik iparnya itu turut merebak menyebabkan rumahnya terbakar.

Menurutnya, dia sedang bersiap untuk menunaikan solat zuhur sebelum dikejutkan dengan panggilan anak saudara yang memaklumkan rumahnya terbakar.

“Saya sempat keluar untuk membantu memadam kebakaran, namun api cepat merebak dan membakar dinding bilik tidur. Saya hanya sempat mengambil beg duit manakala barangan yang lain hangus terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Mohd. Rafain Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.54 tengah hari sebelum 12 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Tumpat dan Wakaf Bharu bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, api berjaya dikawal kira-kira pukul 1.19 petang, namun dua rumah tersebut terbakar 100 peratus dan punca kebakaran termasuk jumlah kerugian masih dalam siasatan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN