KUANTAN: Tiga penjenayah Geng Centro yang ditembak mati di Kilometer 17, Jalan Pintasan Pekan-Kuantan di sini dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk kedai emas dan samun yang semuanya membabitkan kerugian lebih RM4 juta.
Kejayaan pukul 11.30 malam itu hasil kerjasama pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Pahang yang melakukan risikan sejak Jun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, geng penjenayah itu dipercayai terbabit enam kes samun dan pecah kedai emas di empat negeri menyebabkan keseluruhan melebihi RM4 juta.
“Polis mengesan sebuah kereta Proton Waja dinaiki tiga suspek mencurigakan di kawasan perumahan dekat bandar Pekan.
“Pasukan polis kemudian memperkenalkan diri namun suspek memecut kenderaan menghala ke Kuantan dan tiba di kilometer 17 Jalan Pekan-Kuantan, suspek menghimpit dan melanggar bahagian belakang kenderaan polis.
“Seorang daripada suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan mengakibatkan polis terpaksa membalas tembakan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Yahaya berkata, dalam berbalas tembakan itu, ketiga-tiga lelaki iaitu dua Vietnam dan seorang Banglaesh berusia 34 hingga 44 tahun maut.
“Hasil pemeriksaan, suspek warga Bangladesh memiliki lesen memandu sah dan dipercayai sudah lama menetap di Malaysia, malah kenderaan digunakan juga milik suspek warga Bangladesh.
“Dua lagi suspek warga Vietnam sering keluar dan masuk ke negara ini dan kita sedang siasat apa yang mereka buat selain menjadi penjenayah dan pihak polis tidak menolak kemungkinan masih terdapat saki-baki ahli Geng Centro dan rakan sejenayah mereka yang lain,” katanya.
Modus operandi suspek menyerang mangsa dengan kekerasan sebelum melakukan rompakan dengan memecah masuk kedai emas melalui pintu hadapan atau belakang dengan menebuk peti besi menggunakan mesin menggerudi.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek, pihak polis menemukan sepucuk pistol jenis Glock 17 dan tujuh peluru, mesin pencanai, mesin menggerudi dan pelbagai lagi peralatan pertukangan yang digunakan untuk melakukan jenayah. UTUSAN










