KLUANG: Perjalanan 70 penumpang dari Johor Bahru Sentral ke Gemas tertangguh kira-kira dua jam apabila kereta api dinaiki mereka melanggar seekor anak gajah di Kilometer 679.50 antara Renggam- Mengkibol, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, walau bagaimanapun kejadian pukul 8.19 malam itu tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan.
“Akibat pelanggaran itu lokomotif terbabit tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan akibat pelanggaran dengan mamalia berkenaan.
“Seekor anak gajah ditemukan terbaring, sudah mati di atas tanah berhampiran dengan landasan, manakala dua ekor gajah lain berjaya melintas dan menyeberangi jalan utama menuju ke kebun seberang landasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin, kawasan persekitaran gelap tidak mempunyai sebarang lampu landasan dan pemeriksaan dilakukan mendapati pagar sempadan kereta api telah rosak akibat dirempuh dua ekor gajah.
Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kluang telah mengambil saiz anak gajah serta pemotongan gading telah dibuat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti diambil oleh orang awam.
“Pada ada pukul 10.40 malam lokomotif bantuan tiba di lokasi kejadian dan kerja penyambungan lokomotif ke gerabak berjaya dilakukan dan bergerak dari lokasi.
“Kerja-kerja menanam bangkai anak gajah akan diuruskan dengan bantuan jentera milik syarikat YTL Berhad,” katanya. – UTUSAN










