Perangi ekonomi gelap

Perangi ekonomi gelap

PENYELUDUPAN rokok secara haram antara kegiatan yang menyumbang kepada ekonomi gelap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan mengisytiharkan ‘perang’ terhadap ekonomi bayangan atau ekonomi bawah tanah yang kini dianggarkan bernilai antara RM330 bilion sehingga RM350 bilion setahun, bagi meningkatkan hasil sektor percukaian negara.

Jumlah tersebut merangkumi kira-kira 30 peratus daripada hasil tahunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang tidak dicukai hasil daripada aktiviti ekonomi secara haram seperti penyeludupan dadah, rokok, minyak diesel, minyak masak bersubsidi, beras tempatan sebagainya.

Ekonomi tersebut dijangka mampu menyumbang hasil melalui kutipan cukai kepada kerajaan antara RM80 bilion hingga RM100 bilion setahun.

Ekonomi bayangan turut disumbangkan oleh aktiviti pelacuran, perjudian tidak berlesen, perniagaan tidak berdaftar termasuklah hasil pendapatan sampingan rakyat Malaysia yang tidak diisytiharkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, ekonomi bayangan merupakan ancaman kepada negara kerana ia menyebabkan kerugian dari segi hasil kutipan cukai tahunan.

Pada masa sama, beliau berkata, jumlah tersebut memberi satu tekanan besar kepada hasil cukai yang boleh dikutip negara sekaligus digunakan bagi tujuan pendidikan, kesihatan, pembangunan dan sebagainya.

“Penyumbang utama terhadap ekonomi bayangan di negara merupakan aktiviti penyeludupan di pintu sempadan negara yang setiap tahun dianggarkan bernilai RM120 bilion membabitkan pelbagai ketirisan termasuk minyak diesel, minyak masak, dadah dan sebagainya.

“Selain itu, saya berpandangan antara punca utama ekonomi bayangan di negara ini adalah disebabkan kebanjiran warga asing dan warga asing tanpa izin (PATI) yang kini jumlahnya sekitar lima juta orang di seluruh negara.

“Jumlah PATI adalah sekitar 3.5 juta orang dan mereka tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit sah tetapi menjalankan perniagaan serta bekerja di negara untuk menyara hidup masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Bashir Ahmad berkata, kehadiran warga asing dan PATI mewujudkan kira-kira RM70 bilion ekonomi bayangan dengan RM50 bilion daripadanya dihantar pulang ke negara masing-masing tanpa dicukai manakala RM20 bilion lagi digunakan di dalam negara.

Katanya, jumlah tersebut merangkumi 20 peratus daripada keseluruhan ekonomi bayangan yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

“Mereka mewujudkan banyak perkampungan di seluruh negara dengan mempunyai aktiviti perniagaan sendiri seperti kedai runcit, kedai gunting rambut dan sebagainya. Transaksi ekonomi di situ sangat besar sekali.

“Perniagaan tidak berdaftar tetapi beroperasi di negara menyumbang kepada ekonomi bayangan dan jumlahnya sangat banyak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, di masa kini, ramai rakyat Malaysia yang sudah mempunyai pekerjaan tetap namun mencari pendapatan sampingan dengan bekerja sebagai penghantar makanan, e-hailing, p-hailing dan sebagainya namun tidak mengisytiharkan harta.

“Mereka memperoleh pendapatan sampingan dan jumlahnya agak banyak namun tidak diisytiharkan. Ia juga mengakibatkan kerugian kepada negara kerana hasil tersebut tidak dicukai,” katanya.

Justeru, Ahmad Bashir berkata, kerajaan perlu mencari jalan untuk sekurang-kurangnya menukar jumlah ekonomi bayangan tersebut kepada hasil negara supaya ia dapat digunakan untuk tujuan pembangunan dan sebagainya.

“Sudah tiba masanya, kerajaan berusaha mengurangkan jumlah ekonomi bayangan tersebut dengan sasaran mencapai pada tahap 10 peratus sahaja daripada KDNK negara di masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×