Penunggang, pembonceng motosikal maut nahas tiga kenderaan - Utusan Malaysia

Penunggang, pembonceng motosikal maut nahas tiga kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penunggang dan pembonceng motosikal maut selepas terbabit dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 277 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara dekat Nilai di sini petang tadi. 

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan terbabit melibatkan sebuah treler, sebuah lori dan sebuah motosikal yang dinaiki mangsa.

“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati, semasa kejadian lori jenis Daihatsu yang dipandu oleh seorang wanita  bersama dua lelaki telah mengalami kerosakan dan pemandu lori tersebut telah memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan. 

“Dalam tempoh masa kurang lima minit, semasa pemandu lori bersama penumpang masih berada di dalam lori telah terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah belakang. 

“Kemudian mereka mendapati sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki bersama seorang lelaki yang merupakan pembonceng telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tersebut. 

“Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan utama lebuh raya dan pada masa yang sama, datang treler di lorong paling kiri lebuh raya tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal tersebut.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal seorang lelaki yang berusia 17 tahun telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pembonceng motosikal pula telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban. Pemandu serta penumpang lori dan pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Malik berkata, kes telah diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Hannan Ibrahim di talian 018-3204817.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN