Pengasingan kuasa pastikan siasatan telus - Adly Zahari

Pengasingan kuasa pastikan siasatan telus – Adly Zahari

Kotak
ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Tindakan pengasingan kuasa telah dikenakan kepada seorang pegawai kanan Tentera Darat yang terpalit dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan di Sarawak.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, seperti diumumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, siasatan ke atas individu yang dikatakan menampar dan menendang seorang pegawai bawahannya sudah dimulakan.

Beliau berkata, pengasingan kuasa merupakan elemen penting dalam memastikan ketelusan siasatan tanpa mengira hierarki penjawatan.

“Memang kita sudah ada pengasingan kuasa dan sebagainya (terhadap pegawai kanan) dan dengan cara itu penyiasatan akan berlaku lebih adil kepada semua pihak, tidak kira apa pun penjawatan mereka.

“Ia supaya kita hendak buat penyiasatan itu (tiada halangan jika) masing-masing ada kuasa, kita tidak kira di mana kedudukan dalam kementerian kerana bagi kita adalah keadilan dan penyelesaian kepada isu-isu berbangkit,” katanya kepada pemberita selepas Karnival Rahmah Alor Gajah di Dataran Keris di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Tentera Darat mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang pegawai kanannya yang kini bertugas di Sarawak.

Muhammad Hafizuddeain berkata, pihaknya memandang serius berkenaan dakwaan itu dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian serta tidak akan berkompromi terhadap pelaku jika terbukti bersalah tanpa mengira pangkat dan jawatan.

Pada 3 Mac lalu, laporan polis dibuat pengadu iaitu seorang pegawai tentera tular dalam media sosial mendakwa, telah ditampar pada bahagian kiri muka dan ditendang pada bahagian perut oleh pegawai kanannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×