ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki maut setelah motosikal berkuasa tinggi Yamaha Tracer ditunggangnya merempuh bahagian kanan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membuat pusingan U di Kilometer 1.4 Lebuh Raya Linkedua arah utara di sini.
Dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 42 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Singapura dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu Toyota Alphard berusia 33 tahun membuat pusingan U untuk pulang ke republik itu. Mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi MPV itu.
“Pelanggaran kuat itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian,” katanya di sini.
Rahmat berkata, pemandu Toyota Alphard serta tiga penumpang lain berusia 31 hingga 60 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN











