SEREMBAN: Keluarga seorang pemandu treler yang maut selepas rentung dalam kemalangan di Kilometer 255, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), di sini, petang semalam berharap agar keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dapat dipercepatkan bagi bagi pengecaman mayat berkenaan.
Abang sulung mangsa, Mohd. Harith Khamaruddin, 36, berkata, treler yang terbabit dalam nahas berkenaan telah disahkan dipandu oleh adiknya, Muhammad Hannah Khamaruddin, 29, yang ketika kejadian dalam perjalanan menghantar barangan dari Selangor ke Johor.
Menurutnya, disebabkan keadaan adiknya yang rentung itu, mayat berkenaan tidak dapat dikenal pasti serta memerlukan keputusan DNA dalam tempoh satu hingga ke tiga minggu bagi pengesahan dan tentunya proses itu mengambil masa agak lama.
“Ibu memang tidak dapat terima keadaan adik, namun kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi.
“Kali terakhir dia pulang ke kampung di Felda Sri Ledang, Johor, bertemu ibu dan ayah adalah sebelum puasa. Hari Ahad lalu kami berdua sempat berbuka puasa bersama-sama di Shah Alam,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Serembam (HTJS) di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohd. Hatta Che Din berkata, hasil siasatan awal mendapati, nahas membabitkan treler jenis Fuso dipandu seorang lelaki berumur 31 tahun bersama seorang penumpang lelaki berumur 31 tahun dari Johor menghala ke Senawang.
“Pemandu treler jenis Fuso sedang memandu terus di lorong kiri. Tiba-tiba treler jenis Volvo yang dipandu seorang individu yang masih belum dikenal pasti identitinya yang memandu di lorong tengah arah sama hilang kawalan dan melanggar belakang sebelah kanan treler jenis Fuso.
“Treler jenis Volvo kemudiannya terbabas dan masuk ke dalam gaung sebelah kiri bahu jalan lalu terbakar. Akibat kemalangan pemandu treler jenis Volvo terperangkap dalam kenderaannya dan tidak sempat keluar lalu terbakar seluruh badan dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, pemandu serta penumpang treler jenis Fuso bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke HTJ untuk pengendalian bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi.
Sementara itu, rakan baik mangsa, Rosdi Azmir Rosli, 35, berkata, mereka memang sudah lama kenal memandangkan masing-masing membesar di kuartes polis di Selangor sejak dari kecil.
Menurutnya, dia juga baharu masuk bekerja sebagai pemandu treler di syarikat berkenaan pada 4 Mac lalu hasil cadangan dari arwah.
“Arwah ni memang baik dan boleh dikatakan semua pemandu treler di Pelabuhan Klang kenal dengan arwah. Semasa kejadian pun banyak pemandu treler dan lori yang berhenti kerana kenal dengan treler yang terbabit nahas,” katanya lagi.-UTUSAN.









