JEMPOL: Seorang penjual aksesori kenderaan didenda sebanyak RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau di sini hari ini selepas dia mengakui salah menyamar menjadi pegawai polis.
Tertuduh, Che Choon Shiung, 46, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacaan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.
Majistret turut menetapkan hukuman tiga bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Choon Shiung didakwa berpura-pura memegang jawatan pejawat awam iaitu polis dengan mengetahui bahawa dia bukan seorang polis dan cuba untuk meminta kad pengenalan milik individu lain.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di tepi Jalan Batu Bakar, Bahau kira-kira pukul 10 malam, 12 Mac lalu.
Oleh itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap kira-kira pukul 9.45 malam, 13 Mac lalu setelah polis menerima laporan dari seorang lelaki yang ditahan tertuduh yang telah meminta kad pengenalannya.
Tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah mengurangkan hukuman denda berikutan hanya mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan, mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak, selain turut diisytiharkan muflis.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farahidah Zool Beri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-UTUSAN.










