KUALA KRAI: Cubaan seorang lelaki untuk menyeleweng 34,871 liter diesel gagal selepas stor yang digunakan untuk menyorokan bahan api itu diserbu anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 3 petang itu, KDPN Kelantan turut menahan pemilik stor yang berusia 60 tahun bagi membantu siasatan.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, berpandukan maklumat risikan suspek menjadikan premis dikawasan tersebut sebagai stor simpanan barang kawalan yang disyaki akan diseleweng dan dijual kepada industri, sektor perladangan dan pertanian.
“Pada masa sama, suspek turut dikesan membuat pengisian minyak diesel berulang kali menggunakan lori pengerak utama di stesen-stesen minyak sekitar Kuala Krai.
“Bahan api itu kemudian dikumpulkan dan dijual semula dengan harga yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua barang kawalan diisi dalam tong-tong jerikin yang dijumpai bersama penggerak utama dua buah dan semi treler tangki di dalam premis berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN










