Lelaki ditangkap, jual cecair vape dicampur dadah - Utusan Malaysia

Lelaki ditangkap, jual cecair vape dicampur dadah

SEBAHAGIAN cecair vape yang dirampas polis dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Ria, Port Dickson semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang lelaki yang disyaki menjual cecair vape dicampur dadah berjaya ditangkap polis dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Ria, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki berusia 26 tahun itu telah mencampurkan cecair vape dengan cecair dadah disyaki jenis ketamin.

Menurut beliau, cecair vape itu kemudiannya dijual dalam kalangan pembeli tempatan di sekitar pekan ini.

“Hasil serbuan ini juga, pihak polis telah berjaya merampas tiga botol cecair yang mengandungi cecair dadah berbahaya jenis ketamin dan 164 botol cecair Flavour pelbagai saiz yang telah dibungkuskan semula dalam kuantiti yang lebih kecil.

“Ia boleh dibekalkan dan dijual kepada anggaran 500 orang penagih manakala jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 4,885 mililiter yang dianggarkan bernilai sebanyak RM14,654,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ujar Aidi Sham lagi, suspek akan dimohon reman dan dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson pada 11 Mac ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana memiliki cecair dadah dan positif dadah disyaki jenis ketamin,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×