JEMPOL: Seorang lelaki berdepan empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini, termasuk melanggar sehingga menyebabkan kematian ke atas seorang penunggang motosikal selepas melakukan jenayah dalam kejadian di Felda Palong 12, di sini, bulan lalu.
Tertuduh, Lee Han Chai, 47, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh telah memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam iaitu semasa bergerak lurus telah melanggar sebuah motosikal jenis Yamaha Y80 sehingga menyebabkan kematian seorang warga emas.
Perbuatan itu dilakukannya kira-kira pukul 5.45 pagi di Jalan Besar Palong 12, pada 28 Februari lalu dan berdepan tuduhan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah peruntukan dan akta yang sama iaitu penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Bagi pertuduhan kedua pula, kira-kira pukul 9.35 pagi, bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, dia telah di dapati memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya disyaki jenis methamphetamine.
Oleh itu tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama dengan Seksyen 38B akta yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh bersama-sama tiga individu yang masih bebas telah mencuri sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) jenis Toyota Hilux berwarna coklat bernilai RM120,000 kepunyaan sebuah syarikat. Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.23 pagi, di hadapan sebuah rumah di Taman Ache pada 28 Februari lalu.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh bersama tiga lagi individu yang masih bebas telah mencuri kenderaan 4×4 jenis yang sama berwarna hitam berharga RM160,000 kepunyaan seorang lelaki berusia 50 tahun. Perbuatan itu masing-masing dilakukan kira-kira pukul 3.23 pagi, di hadapan sebuah rumah di Taman Ache dan kira-kira pukul 3.20 pagi, di hadapan sebuah rumah di Taman Sornam pada 28 Februari lalu.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri manakala tertuduh diwakili peguam, Sarinah Mustafa. Majistret kemudiannya memutuskan RM10,000 wang jaminan ditawarkan kepada tertuduh bagi pertuduhan pertama, ketiga dan keempat serta RM5,000 bagi pertuduhan kedua dengan nilai keseluruhan jaminan sebanyak RM35,000.
Majistret turut menetapkan syarat tambahan lesen digantung sehingga kes selesai, melapor diri di balai polis terdekat pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. Kesemua pertuduhan akan disebut semula pada 6 Mei ini bagi serahan dokumen.-UTUSAN.










