SEREMBAN: Kutipan sisa pukal di negeri ini dijangka meningkat 15-20 peratus menjelang Aidilfitri didorong persiapan orang ramai bagi menyambut perayaan itu.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Hazahar Hashim sehubungan itu berkata, orang ramai diminta untuk mengeluarkan sisa-sisa pukal seperti perabot tersebut agar ia dapat dikutip pihak syarikat konsesi sebelum Aidilfitri.
“Kebiasaannya penduduk turut menukar perabot malah tilam sempena hari raya jadi terdapat peningkatan kutipan pada waktu tiga hingga empat hari sebelum hari raya.
“Kami mahu pastikan kawasan-kawasan di negeri ini bersih sebelum anak rantau pulang ke kampung halaman mereka bagi menyambut hari raya. Kami harap penduduk dapat mengeluarkan barang-barang supaya kami dapat mengambil tindakan seminggu sebelum ataupun selewat-lewatnya tiga hari sebelum perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri SWM Environment dan Majlis Berbuka Puasa di sini semalam.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd., Mohd. Norlisam Mohd. Nordin.
Mohd. Norlisam sementara itu berkata, pihaknya mengaturkan sejumlah 1,035 pekerja untuk bertugas sepanjang cuti perayaan Hari Raya Aidilftri iaitu seramai 941 orang pada hari raya pertama (10 Mac) dan 1,035 pekerja pada hari raya kedua (11 Mac).
“Pihak syarikat juga turut mengaturkan sejumlah 171 buah kenderaan lori kompaktor dan lori terbuka bagi membuat kutipan sisa domestik dan juga sisa pukal, kitar semula dan sisa taman di kawasan perumahan dibawah perkhidmatan SWM Environment,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa lokasi yang memerlukan pemantauan dan perhatian termasuklah tujuh lokasi bazar Aidilfitri, 48 lokasi bazar Ramadan, 19 lokasi program mantai dan 47 buah lokasi pasar raya dan pusat beli-belah di seluruh negeri ini.-UTUSAN.










