KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menubuhkan jawatankuasa dianggotai pakar untuk memastikan jurnal akademik yang diterbit universiti tempatan mempunyai kualiti dan kredibiliti.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, jawatankuasa itu berfungsi mengkaji trend penerbitan dalam jurnal pemangsa atau palsu dan penarikan balik artikel di semua universiti awam yang dilihat lebih berasaskan keuntungan.
“Penerbitan artikel seperti ini menyebabkan negara menghabiskan jutaan ringgit untuk pembayaran kepada penerbit dan kurang menekankan aspek kualiti dan mempunyai kriteria penilaian yang lemah.
“Jawatankuasa ini juga akan mencadang beberapa usul bagi penambahbaikan untuk mengekang penerbitan dalam jurnal pemangsa seperti perkongsian senarai jurnal pemangsa dan pengunjuran semula kriteria dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA),” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse [PH-Tebrau] yang mahu mengetahui langkah diambil kementerian dalam usaha memastikan jurnal akademik yang diterbit universiti berkualiti dan mempunyai kredibiliti.
Beliau mengemukakan soalan itu susulan laporan media pada Januari lalu melibatkan sejarawan Perancis yang mempertikai fakta sejarah pelayaran Melayu yang dikeluarkan dua ahli akademik Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dalam satu catatan Facebook, Serge Jardin menamakan Rozita Che Rodi dan Hashim Musa yang kedua-duanya ahli akademik dari UPM, sebagai penulis kertas berjudul ‘The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization’ yang diterbit dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, Jilid 13, Isu 11, 2023.
Jardin mendakwa imej yang diguna dalam kertas mereka untuk menunjukkan model Jong Melayu (sejenis kapal layar yang berasal dari Jawa, Indonesia yang diguna secara meluas oleh pelaut Jawa, Sunda, dan kemudian oleh pelaut Pegu dan Melayu) sebenarnya adalah Kapal Kargo Foochow Pole (sejenis kapal kargo) dari China.
Sementara itu, mengulas berhubung penarikan balik artikel, Zambry menjelaskan pihak universiti akan menentukan langkah selanjutnya yang akan dikenakan terhadap penulis.
“Pihak Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) juga mengeluarkan surat pekeliling bertarikh 13 Julai 2023 bagi melarang penggunaan dana kerajaan untuk tujuan pembayaran kepada penerbit tertentu.
“Kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan pemerkasaan penerbitan berimpak tinggi yang akan menjadi kayu pengukur kecemerlangan universiti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT,” katanya. – UTUSAN










