KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 265 unit alat ganti telefon tiruan di sini semalam.
Operasi pada pukul 10.30 pagi bersama wakil pemilik cap dagang itu membawa kepada rampasan berjumlah RM4,525.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, serbuan itu dilakukan hasil aduan pemilik cap dagang dan risikan yang dijalankan oleh penguat kuasa KDPN.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan pelbagai aksesori alat ganti telefon berjenama disyaki pelanggaran mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
“Kesemua barangan rampasan itu telah disita dan kes disiasat dibawah Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman memberitahu, KPDN Kelantan memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga supaya tidak berbuat demikian kerana boleh berdepan tindakan undang-undang.
Katanya, jika disabitkan kesalahan pemilik premis perniagaan boleh didenda jika pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM 15,000.00 bagi setiap barang.
“Individu atau perseorangan denda tidak melebihi RM 10,000.00 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.-UTUSAN