MARAN: Kenaikan melampau air mineral sehingga RM23.90 seberat 9.5 liter berbanding RM11.90 antara dua aduan diterima menerusi Op Kesan bagi memantau kesan kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, aduan itu diterima pada Jumaat membabitkan sebuah pasar raya di Selangor.
“Ia kenaikan yang luar biasa, bukan biasa-biasa terhadap produk air mineral dan kertas siasatan sudah dibuka.
“Dalam pada itu pengguna harus tahu kategori apa, yang dikenakan SST dan untuk Ops Kesan kita pantau iaitu sektor perhotelan, kesihatan dan kesejahteraan, pusat penyediaan latihan dan tunjuk ajar serta perkhidmatan dobi.
” Produk berasaskan makanan dan minuman tidak terlibat dengan kenaikan SST,” katanya dalam sidang akhbar sempena Karnival Jualan Rahmah Madani Peringkat Negeri Pahang 2024 di Dataran Anjung, Pusat Bandar Jengka di sini hari ini.
Fuziah mengingatkan para peniaga lebih bertanggungjawab dan tidak menggunakan SST sebagai alasan dan mengambil kesempatan menaikkan harga.
Tegasnya, orang ramai diminta membuat aduan jika terdapat kesalahan mencatut supaya tindakan segera dapat diambil.
Orang awam boleh mengemukakan aduan melalui aplikasi WhatsApp ke nombor 0198488000/0192794317; portal e-Aduan KPDN melalui pautan http://eaduan.kpdn.gov.my; pusat panggilan: 1-800-886-800; atau menggunakan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
Bermula 1 Mac 2024, kadar baharu SST dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini, sebagaimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu.
Sementara itu, Fuziah berkata, Program Jualan Rahmah (PJR) 2023 di seluruh negara dikunjungi 9.2 juta pengunjung bagi mendapatkan barangan keperluan harian lebih murah sehingga 30 peratus.
Menurutnya, pelaksanaan PJR di seluruh negara sepanjang tahun lalu sebanyak 6,870
yang melibatkan 222 parlimen dan 600 Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Daripada jumlah itu, sebanyak 3,053 PJR di dalam premis, 685 PJR di luar premis dan 3,132 PJR melibatkan Program Jualan Rahmah bergerak,” katanya. – UTUSAN










