KOTA BHARU: Malaysia Rail Link (MRL) mengesahkan Kementerian Pengangkutan sedang melaksana kajian berkait titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang mahu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung sehingga ke Rantau Panjang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sri Darwis Abdul Razak bagaimanapun berkata, sebarang perkembangan lanjut berkait dengan perkara tersebut akan umumkan oleh Menteri pada masa yang sesuai nanti.
“Tentunya perkara ini (sambungan ERCL ke Rantau Panjang) dalam kajian,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL di sini malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Jawantankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin.
Pada majlis tersebut MRL bersama China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah mahu jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung sehingga ke Rantau Panjang.
Titah tersebut dibaca oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim.
Baginda bertitah, langkah itu mampu mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Thailand sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi antara sempadan.
Kerajaan Kelantan kemudian melihat titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang mahu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan sehingga ke Rantau Panjang sebagai aspirasi rakyat di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, titah tersebut turut dilihat mampu membawa manfaat besar kepada negeri ini terutama dalam sektor pelancongan.
Projek melibatkan jarak jajaran 665 kilometer merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu dijangka beroperasi pada bulan Januari 2027.
Apabila siap nanti, projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di negeri-negeri di pantai timur khususnya Kelantan yang dianggap terpisah daripada pertumbuhan pesat di Lembah Klang.-UTUSAN










