Kelantan sedia tarik lesen peniaga jalankan konsep 'ali baba' tapak bazar Ramadan

Kelantan sedia tarik lesen peniaga jalankan konsep ‘ali baba’ tapak bazar Ramadan

HILMI Abdullah (dua kiri) melawat tapak Madinah Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menarik balik lesen peniaga bazar Ramadan di negeri ini yang menjalankan konsep ‘ali baba’.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, tindakan itu bagi memastikan para peniaga mengikut setiap peraturan yang telah ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, jika wujud dakwaan sewa tapak bazar Ramadan yang mencecah antara RM5,000 ke RM10,000 sebulan siasatan berkait dengan perkara itu akan dijalankan dengan segera.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hanya mengeluarkan lesen perniagaan di tapak niaga dan selebihnya diuruskan oleh penganjur dan peniaga di kawasan bazar Ramadan.

“Untuk makluman, sewa sebenar tapak ialah RM300 untuk sebulan dengan kata lain sekitar RM10 hingga RM20 sehari,” katanya kepada pemberita semasa melihat persiapan akhir Madinah Ramadan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Hilmi memberitahu, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat berkait dengan perkara tersebut.

Katanya, pada masa sama kerajaan negeri menerusi PBT akan mengadakan pemantauan berkala di seluruh tapak-tapak bazar bagi memastikan peniaga mengikut peraturan.

Dalam perkembangan lain, Hilmi berkata, kutipan sampah dijangka akan meningkat sekali ganda sepanjang bulan Ramadan berbanding hari biasa.

“Jadual kutipan sampah juga akan berubah,  sepanjang bulan Ramadan kita akan pungut pada waktu malam.

“Kita juga akan buat sistem penggiliran mengikut jadual melibatkan petugas memandangkan pertambahan sampah juga akan berlaku menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN