KUANTAN: Sebuah kedai serbaneka, KK Super Mart cawangan Sungai Isap, dekat sini, dilaporkan hampir musnah dipercayai dilempar bom petrol kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Kejadian tersebut menyebabkan bahagian hadapan kedai berkenaan terbakar termasuk beberapa rak barangan runcit yang diletakkan di situ.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata pelaku yang tidak dikenali melemparkan bom petrol di hadapan kedai berkenaan.
Menurutnya, kejadian itu disedari pekerja kedai berkenaan setelah mendengar bunyi letupan yang kuat.
“Polis sedang menyiasat di sekitar kawasan untuk mendapatkan bukti dan memeriksa rakaman CCTV dari kedai-kedai berdekatan.
“Menurut saksi (pekerja), bom yang dilemparkan jatuh di laluan masuk KK Mart hingga tercetus kebakaran kecil dan beberapa rak jualan serta barangan telah mengalami kerosakan akibat terkena percikan api.
“Siasatan awal juga mendapati pelaku mungkin melemparkan bom dari jarak jauh untuk mengelakkan diri dirakam oleh kamera keselamatan di kedai serbaneka berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Zahari berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada isu penjualan stokin tertera kalimah ‘Allah’ yang terkait dengan Pasaraya KK Mart sebelum ini hingga saspek melakukan perbuatan khianat tersebut.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pahang berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.40 pagi.
Katanya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota bersama enam pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik laporan diterima.










