Kedai Emas Hajjah Halijah edar 1,000 pek bubur lambuk

Kedai Emas Hajjah Halijah edar 1,000 pek bubur lambuk

MOHD. Shaiful Hasri Shukri (kiri) bersama kakitangan mengedarkan bubur lambuk secara percuma yang menjadi tradisi sepanjang Ramadan sejak lebih 10 tahun lalu di depan Kedai Emas Hajjah Halijah di Kangar, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bersempena bulan Ramadan, Kedai Emas Hajjah Halijah meneruskan tradisi sejak 10 tahun lalu mengedarkan bubur lambuk secara percuma buat orang ramai di hadapan premisnya di Jalan Medan, di sini.

Pada tahun ini, inisiatif pemberian berkenaan diperluaskan dengan sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diagihkan pada setiap hari menyaksikan pertambahan sebanyak 500 pek berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pengurus Kedai Emas Hajjah Halijah, Mohd. Shaiful Hasri Shukri berkata, pada tahun ini, pihaknya menyediakan dua periuk besar bubur lambuk berkenaan pada setiap hari untuk diagihkan ke setiap cawangan mereka.

“Pada tahun ini, kami meneruskan lagi tradisi seperti sebelum ini di mana kami mengedarkan sebanyak 1,000 pek bubur lambuk secara percuma di hadapan premis kami pada setiap hari untuk orang ramai,” katanya.

Tambah Mohd. Shaiful, kebiasaannya, semua bubur lambuk akan selesai diedarkan dalam tempoh kira-kira 30 ke 40 minit sahaja.

Malah, kata beliau, orang ramai juga sanggup beratur panjang bagi mendapatkan bubur lambuk itu yang diedarkan bermula pukul 5 petang.

“Kami ingin berkongsi rezeki dengan orang ramai dan salah satunya dengan mengedarkan bubur lambuk secara percuma ini pada setiap hari sepanjang bulan puasa penuh keberkatan ini,” katanya.

Menurut Mohd. Shaiful, juadah bubur lambuk tersebut juga cukup istimewa dan merupakan resipi ibunya, Halijah Saad,69.

Katanya, dia mengikut tradisi keluarga yang tidak pernah ketinggalan mengedarkan bubur lambuk secara percuma di sekitar surau berhampiran rumah sejak 1980-an lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN