KDN FC belanja RM12 juta hadapi Liga M

KDN FC belanja RM12 juta hadapi Liga M

BARISAN pemain Kelantan Darul Naim FC bersama pengurusan dan penaja pasukan pada Majlis Iftar Jamaie dan Pelancaran Penjenamaan Semula pasukan di Kota Bharu, Kelantan malam tadi.-UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) membelanjakan RM12 juta bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Presidennya, Rozi Muhamad berkata, peruntukan itu melibatkan pengurusan pasukan Liga Super, liga simpanan, skuad Piala Presiden, skuad belia dan skuad remaja.

“Bagaimanapun, kita akan memberikan peruntukan yang lebih banyak kepada pasukan Liga Super dan skuad Piala Presiden. Untuk lain-lain pasukan kita rangka strategi bagi membolehkan kelab tidak perlu menanggung kos sepenuhnya.

“Jadi dari sudut pengurusan belanjawan, kita boleh melaksanakan langkah perbelanjaan berhemah dan penjimatan kos,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Iftar Jamaie dan Pelancaran Penjenamaan Semula KDN FC di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Rozi memberitahu, KDN FC turut mendapat bantuan sokongan daripada pihak kerajaan negeri tetapi bukan dalam bentuk penajaan penuh.

Katanya, bagaimanapun, KDN FC sudah memohon kepada kerajaan negeri supaya pasukan itu diberikan beberapa pelepasan seperti diskaun daripada Perbadanan Stadium Negeri Kelantan (PSNK) serta lain-lain bantuan.

“Ketua jurulatih baharu KDN FC akan tiba dalam masa terdekat, Insya-Allah sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Bagi musim ini kita guna khidmat jurulatih asing cuma atas sebab-sebab teknikal, kita belum boleh mengisytiharkan status beliau bersama KDN FC,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Rozi berkata, pihaknya kini dalam usaha menyatukan semua penyokong Kelantan untuk bersama-sama memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada KDN FC.

“Kita ada perancangan untuk bertemu ultras yang sebelum ini menyokong The Red Warriors (TRW) untuk memujuk sokongan mereka. Kita mahu melihat semua penyokong Kelantan berada di bawah satu bumbung dan bersatu hati menyokong pasukan-pasukan yang mewakili negeri ini.

“Selepas hari raya nanti kita sudah merangka untuk turun ke daerah-daerah sekitar negeri ini dan bertemu penyokong. Kita mahu mereka buang stigma sokongan fatanik terhadap satu kelab sahaja dan boleh duduk bersama menyokong semua pasukan dari negeri ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN