Jurukimpal maut tertimbus - Utusan Malaysia

Jurukimpal maut tertimbus

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat jurukimpal yang tertimbus ketika melakukan kimpalan batang besi paip air berhampiran Ladang Bukit Benut, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang jurukimpal maut akibat tertimbus tanah ketika melakukan kerja pemasangan paip di Kilometer 41.5, Jalan Kluang-Teck Wah Heng berhampiran Ladang Bukit Benut, petang semalam. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Nik Mohd. Azmi Husin berkata,  kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang ketika mangsa,

Rostam Amiruddin Hassan, 59, sedang melakukan kimpalan batang besi paip air pada berkedalaman 1.8 meter bersama dua rakan sekerjanya. 

Ketika melakukan kerja-kerja kimpalan, tebing parit tempat meletakkan batang besi paip air itu secara tiba-tiba runtuh dan menimbus mangsa. 

“Akibatnya, mangsa telah tersepit dengan batang besi paip air berkenaan menyebabkannya meninggal dunia. 

“Dua rakan sekerjanya sempat menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada warisnya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba, Nizar Mamun berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.34 petang, sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota  dihantar ke tempat kejadian.

Pihaknya mengeluarkan mangsa dengan bantuan sebuah jentolak bagi  mengalihkan runtuhan tanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN