Isa Samad lepas, bebas tuduhan rasuah

Isa Samad lepas, bebas tuduhan rasuah

ISA Samad bercakap kepada pemberita selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya, hari ini. UTUSAN/FAIZ ALIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini dilepaskan dan dibebaskan daripada sembilan tuduhan rasuah membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah turut mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dikenakan terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sebelum ini.

Panel terbabit memutuskan demikian selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila menerima keterangan saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md. Arip yang ketika itu pegawai khas politik Mohd. Isa.

“Tiada bukti kredibel lain yang menunjukkan bahawa ‘kirim salam’ yang dinyatakan oleh perayu (Mohd. Isa) membawa maksud meminta suapan,” kata Hakim Vazeer ketika membaca ppenghakiman ringkas panel itu.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd. Isa, 74, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Mohd. Isa didakwa menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan menerusi Muhammad Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN