‘Ibu peluk jiran seperti mereka tidak akan berjumpa lagi’

‘Ibu peluk jiran seperti mereka tidak akan berjumpa lagi’

KEADAAN kereta Perodua Myvi dinaiki tiga warga emas yang terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sungai Limau Dalam, Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Perasaan tidak sedap hati seorang anak melihat ibunya memeluk jiran seperti tidak akan berjumpa lagi rupanya tanda dia akan kehilangan insan tersayang itu selama-lamanya.

Ahmad Ramzi, 48, anak kedua kepada Naemah Mohamad, 70, berkata, hanya dua jam selepas melihat situasi itu, dia menerima perkhabaran duka apabila ibunya bersama rakan wanita itu maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Limau Dalam, di sini, kelmarin.

“Sebelum itu, ibu ditemani rakan-rakannya yang menetap di Pondok Ustaz Fauzi di Sungai Yan singgah ke rumah kami di Taman Mawar, Pendang kira-kira pukul 10 pagi.

“Ibu kata nak jumpa jiran kami selepas pulang dari membeli-belah di pekan Pendang setelah selesai menghadiri pengajian harian mereka di pondok terbabit,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Yan.

Ahmad yang bekerja sebagai anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kuala Kedah berkata, dia juga hairan dengan sikap ibunya yang kurang bercakap dengannya sepanjang 15 minit berada di rumah ketika itu.

“Ibu kemudian ingin segera bergerak kerana perlu menghantar seorang rakannya di Kuala Kangkong dan itu merupakan detik terakhir saya bersamanya sebelum menerima berita kejadian itu selepas solat Jumaat,” katanya.

Dalam kemalangan pada pukul 11.10 pagi itu, Naemah meninggal dunia ketika dirawat di hospital selepas Perodua Myvi dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori ikan.

Kemalangan turut mengorbankan rakannya, Zabidah Bakar, 75, yang duduk di kerusi penumpang hadapan manakala seorang lagi rakan mereka, Faridah Awang Dahman, 66, kini sedang dirawat di Hospital Yan.

Sementara itu anak keempat Zabidah, Mohd. Suhail Wahab, 42, berkata, ibunya pula tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap ketika mereka bertemu sehari sebelum kejadian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN