Edar dadah: Bekas pelajar IPT dipenjara 30 tahun, 12 sebatan - Utusan Malaysia

Edar dadah: Bekas pelajar IPT dipenjara 30 tahun, 12 sebatan

MUHAMMAD Nur Arif Nur Akil dibawa ke Kompleks Mahkamah Seremban di Seremban 2, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini memerintahkan seorang bekas pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menjalani hukuman penjara 30 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas kesalahan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 1.9 kilogram, empat tahun lalu. 

Muhammad Nur Arif Nur Akil 26, terlepas hukuman mati selepas mahkamah menggunakan kuasa budi bicaranya dengan menggantikan hukuman gantung dengan tempoh pemenjaraan dan dikenakan sebatan minimum. 

Hukuman itu diputuskan Hakim, Datuk Rohani Ismail.

Rohani dalam penghakimannya berkata, keputusan hukuman dibuat selepas mendengar dan menimbang rayuan litigasi peguam tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan.

Terdahulu, peguam, Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili tertuduh berhujah, tertuduh adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan kesalahan yang dilakukan merupakan kesalahan pertama tertuduh. 

“Dalam lingkungan usia yang masih muda dan dalam fasa membentuk diri, saya percaya tertuduh belum mampu menilai dan berfikiran wajar menyebabkan terjerumus dalam kesalahan ini. 

“Dia sebenarnya mempunyai masa depan yang cerah pada masa itu. Saya percaya hukuman bukan untuk menghukum tetapi untuk pastikan menjadi orang berguna. Tertuduh juga ada menyatakan hasrat ingin melanjutkan pelajaran di dalam tahanan dan secara tidak langsung tertuduh mahu menjadi orang berguna pada masa akan datang,” katanya.

Katanya lagi, kejadian yang berlaku ke atas tertuduh berlaku pada pandemik dan pada masa itu pembelajaran tertuduh tersekat dan menyebabkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku selain mengambil kira jenis dadah kanabis yang merupakan dadah jenis soft

Timbalan Pendakwa Raya, Ala’ uddin Baharom ketika berhujah pula berkata, hukuman mati perlu dikenakan kepada tertuduh berdasarkan kepada kepentingan awam serta pencegahan. 

“Walaupun terdapat pindaan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati dan penjara seumur hidup, kesalahan kes pengedaran ini jelas dapat dibuktikan secara terang. Sama ada dadah kanabis ini jenis soft atau hard tidak timbul kerana kesan penggunaan dan pengambilan tetap negatif. 

“Tertuduh sebagai seorang pelajar IPT dan berpelajaran juga seharusnya tahu akibat dan kesan terlibat pengedaran dadah,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Muhammad Nur Arif Nur Akil, ketika kejadian berusia 22 tahun iaitu pada 2 September 2020 bertempat di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Seremban 2 didapati mengedar dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 1.9 kilogram.

Dia didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Tertuduh akan menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor. Proses perbicaraan yang berlangsung sejak 10 April tahun lalu melibatkan lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×