PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin dunia menggesa gencatan senjata di Gaza dilaksanakan segera dan resolusi yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), Isnin lalu, dipatuhi sepenuhnya.
Di Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Amerika Syarikat (AS) memastikan Israel mematuhi resolusi yang kali pertama diluluskan tanpa veto selepas hampir enam bulan menyerang Gaza.
“AS mesti mengatasi sekutunya untuk menghormati kehendak masyarakat antarabangsa dan mematuhi gencatan senjata serta membenarkan kemasukan segera bantuan kecemasan secara besar-besaran.
“Malaysia turut menyokong pembebasan segera semua tebusan dan penghantaran bantuan dipercepatkan ke Gaza,” katanya dalam kenyataan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menegaskan, resolusi itu mesti dilaksanakan dan menyifatkan kegagalan untuk berbuat demikian tidak boleh dimaafkan.
Duta Besar China ke PBB, Zhang Jun berkata, resolusi berkenaan agak terlambat kerana ribuan nyawa sudah terkorban.
Namun, jelasnya, usaha berkenaan boleh membawa harapan yang sudah lama ditunggu-tunggu di Gaza jika dilaksanakan sepenuhnya, khususnya bagi jutaan penduduk yang masih terperangkap dalam malapetaka kemanusiaan terburuk itu.
Sementara itu, Duta Russia ke PBB, Vasily Alekseyevich Nebenzya menegaskan, Moscow berharap resolusi itu akan digunakan dalam kepentingan keamanan dan bukan untuk memajukan operasi tidak berperikemanusiaan Israel terhadap rakyat Palestin.
Beliau berkata, Russia lebih bersetuju dengan versi teks yang menuntut gencatan senjata kekal dan mampan pada bulan Ramadan yang dikemukakan sebelum ini.
Duta Perancis, Nicolas de Riviere pula berpendapat, penerimaan resolusi itu menunjukkan UNSC masih boleh bertindak apabila semua anggotanya bersatu mencapai kata sepakat yang diperlukan untuk melaksanakan mandat mereka.
“Sikap berdiam diri UNSC menunjukkan kami seakan-akan cuba memekakkan telinga terhadap isu di Gaza.
“Sudah tiba masanya, majlis ini menyumbang usaha bagi mencari penyelesaian,” katanya pada sesi itu.
Wakil Algeria ke PBB, Amar Bendjama berkata, UNSC akhirnya memikul tanggungjawab sebenar sebagai organisasi utama untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Turkiye pula menekankan prospek mengembalikan akses kemanusiaan ke Gaza sebagai langkah positif.
“Kami berharap Israel akan mematuhi keperluan resolusi ini tanpa berlengah-lengah,” kata Jurucakap Hal Ehwal Luar Turkiye, Oncu Keceli dalam laman X. – UTUSAN










